1MPAK tarik penyertaan 26,000 belia

BASIR (lima dari kanan) bersama Zulfikri dan penerima kemudahan pembiayaan MARA dalam program 1MPAK Kuala Nerus di Sekolah Sukan Malaysia Terengganu hari ini.

KUALA TERENGGANU 31 Mac – Program Graduate Empoyability Training Skill (GETS) yang diperkenalkan melalui Inisiatif Melestari Pembangunan Komuniti (1MPAK) berjaya menarik penyertaan 26,000 belia seluruh negara sehingga kini.

Timbalan Ketua Pengarah (Keushawanan) MARA, Zulfikri Osman berkata, GETS merupakan program perantis yang memberi persiapan kemahiran kepada graduan untuk dipadankan dengan keperluan industri.

Katanya, sambutan terhadap program berkenaan melalui pendekatan turun padang mendapat sambutan amat menggalakkan dengan pendedaha peluang kepada belia yang sedang mencari pekerjaan.

Sejak pelancaran oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah pada 17 Januari lalu, sebanyak 27 siri jelajah disasarkan di negara.

“Sehingga kini 22 buah daerah di seluruh negara telah diadakan program berkenaan, dan lima daerah lagi akan dilaksanakan dalam waktu yang terdekat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian sempena pelancaran 1MPAK Kuala Nerus yang disempurnakan oleh Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd Basir Ismail di Sekolah Sains Malaysia, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah MARA negeri Mohd Azli Sobi.

1MPAK merupakan kesinambungan kepada usaha kementerian itu melalui MARA untuk memperkasakan agenda bumiputera dengan pendekatan baharu dan dinamik dalam membawa peluang pendidikan, pekerjaan, keusahawanan dan inisiatif tanggungjawab sosial terus kepada masyarakat terutamanya di luar bandar.

Menurut Zulfikri, program seumpama ini akan dijalankan secara berterusan dengan sasaran dapat memberi peluang pekerjaan kepada 250,000 belia di seluruh negara dalam tempoh 10 tahun.

Beliau juga berbangga kerana MARA sentiasa diberi perhatian oleh kerajaan dalam usaha membangunkan usahawan bumiputera melalui pelbagai skim pembiayaan yang diperkenalkan, dengan tambahan peruntukan terbaharu sebanyak RM100 juta.

Sempena dengan program itu MARA turut menyampaikan cek kepada 22 usahawan tempatan daerah itu melalui pelbagai pembiayaan yang ditawarkan, bernilai RM1.2 juta.

Katanya, pada tahun ini MARA Terengganu menyediakan peruntukan sebanyak RM39 juta untuk pelbagai pembiayaan antaranya untuk usahawan wanita, belia dan golongan orang kurang upaya.- UTUSAN ONLINE

Sumber : http://m.utusan.com.my/berita/nasional/1mpak-tarik-penyertaan-26-000-belia-1.638880

This entry was posted in Pendidikan, Usahawan. Bookmark the permalink.