EduXtra Memimpin Laluan Pendidikan Anak Bumiputera

YBhg. Datuk Nazir Hussin bin Akhtar Hussin, Ahli Majlis MARA telah menyampaikan Surat Tawaran Kemasukan secara terus kepada salah seorang pelajar yang layak melanjutkan pelajaran ke Universiti Kuala Lumpur (UniKL)

media@mara.gov.my

Maklumat peluang pendidikan ke Institusi Pengajian Tinggi terus disebarkan kepada lepasan sekolah di peringkat SPM melalui jelajah EduXtra 2018. EduXtra merupakan satu jelajah atau ‘roadshow’ yang menjadi ‘one stop centre’ yang menyediakan laluan pendidikan dan latihan oleh MARA melalui IPMa serta IPTA dan IPTS yang mengambil bahagian.

Jelajah EduXtra telah selesai di lima (5) zon iaitu di Selatan (Johor), Sarawak, Utara (Kedah), Timur (Terengganu) serta Sabah dan Zon Tengah (Kuala Lumpur) merupakan zon atau lokasi terakhir.

Keistimewaan EduXtra kali ini menampilkan kelainan dengan mengeluarkan penawaran terus secara bersyarat kepada pelajar-pelajar yang layak. YBhg. Datuk Nazir Hussin bin Akhtar Hussin, Ahli Majlis MARA telah menyampaikan Surat Tawaran Kemasukan secara terus ke Kolej Universiti Poly-tech MARA (KUPTM) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) kepada para pelajar yang berkelayakan sempena ‘walkabout’ di EduXtra Zon Tengah yang bertempat di Lobi Medan MARA, Kuala Lumpur yang hadir pada hari ini. Komuniti MARA seperti ANSARA yang merupakan alumni MRSM turut mengambil bahagian untuk berkongsi pengalaman melalui ‘carrier talk’ dan ujian personaliti oleh Persatuan Kaunseling MARA (PekaMARA) bersama pengunjung yang hadir.

EduXtra Zon Tengah pada hari ini mencatatkan kehadiran jumlah pengunjung menghampiri 25,000 orang. MARA mensasarkan pertambahan bilangan pengunjung selama dua (2) hari ini adalah melebihi 50,000 orang memandangkan lokasi kali ini adalah tempat tumpuan utama di kawasan Kuala Lumpur.

MARA akan meneruskan usaha mencari anak-anak muda Bumiputera dan memberikan penawaran atau peluang untuk meneruskan pengajian dalam jelajah seterusnya bersama Jelajah Pendidikan Bumiputera di bawah anjuran Yayasan Destini Anak Bangsa yang akan berada 28 lokasi di seluruh negara.

Membawa misi yang sama, jelajah ini akan memberi peluang kepada para lepasan sekolah  untuk bertemu dengan wakil IPMa bagi mendapatkan maklumat mengenai peluang-peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi bersesuaian dengan kelayakan akademik, minat dan kemahiran mereka.  Malah, melalui jelajah ini, MARA turut memberikan bimbingan kerjaya untuk membantu anak-anak Bumiputera mencipta laluan kerjaya yang cemerlang.

This entry was posted in Korporat. Bookmark the permalink.