PMB Investment raih empat anugerah

KUALA LUMPUR: PMB Investment Bhd, anak syarikat milik penuh Pelaburan MARA Bhd merangkul empat anugerah dalam tiga kategori dana unit amanah syariah terbaik Malaysia pada Majlis Penganugerahan The Edge|Thomson Reuters Lipper Fund Awards 2018 hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan MARA, Datuk Nazim Rahman, berkata pihaknya begitu bersyukur dengan empat anugerah yang diterima untuk tiga dananya itu.

Beliau berkata, penganugerahan itu adalah kemenangan hatrik selepas berjaya memperoleh pengiktirafan daripada Morningstar, syarikat penyelidikan pelaburan bebas antarabangsa pada minggu lalu untuk salah satu dananya.

“Kemenangan ini membuktikan dana kami berupaya memberi pulangan yang baik dan masyarakat pelabur seharusnya mengambil kesempatan ini untuk membuat perancangan pelaburan dengan melabur dalam dana berprestasi tinggi yang diurus oleh PMB Investment,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut mengenai dana itu, Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment, Najmi Mohamed, berkata salah satu dana yang menerima anugerah ialah PMB Shariah Growth Fund (PMB SGF) memenangi anugerah Dana Ekuiti Malaysia Terbaik bagi tempoh tiga tahun berakhir 31 Disember 2017 dengan prestasi pulangan yang direkodkan adalah sebanyak 50 peratus.

Beliau berkata, PMB Investment turut memenangi anugerah Dana Ekuiti Pendapatan Malaysia Terbaik bagi tempoh tiga tahun dan lima tahun berakhir 31 Disember 2017 melalui PMB Shariah Dividend Fund (PMB SDF).

Dana itu, katanya, mencatatkan pulangan sebanyak 36 peratus bagi tempoh tiga tahun dan 45 peratus bagi tempoh lima tahun berakhir 31 Disember 2017.

“Selain itu, dana lain yang turut memenangi anugerah adalah PMB Shariah Aggresive Fund (PMB SAF) dalam kategori Dana Ekuiti Malaysia Terbaik bagi tempoh lima tahun berakhir 31 Disember 2017 dengan merekodkan prestasi pulangan sebanyak 112 peratus,” katanya.

Sebelum ini, PMB SAF pernah memenangi Anugerah di The Edge-Lipper Awards Malaysia 2014 bagi Kategori Ekuiti Syariah Terbaik Malaysia bagi tempoh tiga tahun berakhir 2013.

PMB SAF juga pernah membolot tiga anugerah utama pada majlis penganugerahan bagi tahun 2016 apabila memenangi Anugerah Dana Ekuiti Terbaik Malaysia Keseluruhan bagi tempoh 3 tahun berakhir 31 Disember 2015.

Selain itu, ia juga memenangi Anugerah Dana Ekuiti Patuh Syariah Terbaik bagi tempoh tiga dan lima tahun berakhir 31 Disember 2015.

“PMB SAF juga pernah menerima pengiktirafan global apabila menerima dua anugerah Thomson Reuters Lipper Fund Awards 2016 Global Islamic.

“Dengan penganugerahan ini, kami bertambah yakin untuk mengorak langkah ke pasaran Asia Tenggara dengan memperkenalkan satu dana baharu. Pengumuman berkaitan dana ini akan dimaklumkan pada minggu depan,” kata Najmi.

PMB Investment menguruskan 14 dana unit amanah, dua dana borong dan beberapa mandat portfolio dengan pelaburan dalam kelas aset ekuiti dan sukuk.

Sumber: https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2018/03/404034/pmb-investment-raih-empat-anugerah

This entry was posted in Berita Kejayaan, Korporat, Pelaburan. Bookmark the permalink.