Manfaat Peluang Yang Disediakan

Anuar Abd Manaf (tengah) menyempurnakan Karnival Gegaria Sekijang 2018.

oleh Liana@segamat

Segamat, 25 Mac – Penduduk setempat digesa untuk memanfaatkan program yang dilaksanakan kerajaan dalam melonjakkan lagi kehidupan ke arah yang lebih baik.

Menurut Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Abd Manap, pelbagai program secara konsisten telah dilaksanakan oleh kerajaan dalam memastikan semua golongan dapat menerima maklumat secara jelas terutamanya dalam konteks melonjakkan pendapatan dan ekonomi setempat.

“Pelbagai program secara dekat dengan rakyat telah kita laksanakan dan pada hari, kita laksanakan karnival di bawah inisiatif MARA dengan kerjasama agensi kerajaan yang lain untuk dimanfaatkan penduduk setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Karnival Gegaria Sekijang 2018 di sini hari ini.

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih pada MARA yang membawa seluruh ekosistemnya dalam bidang keusahawanan serta pendidikan dengan lebih dekat kepada masyarakat di sekitar Sekijang ini.

“Diharapkan inisiatif seumpama ini dapat memberi gambaran yang jelas kepada semua bahawa pihak kerajaan sentiasa peka terhadap kehendak dan keperluan rakyat,” katanya lagi.

Beliau turut berharap agar program dekat rakyat seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang.

“Di Sekijang ini sahaja, pelbagai program berorientasikan penduduk akar umbi telah dilaksanakan, dan atas kerjasama serta sambutan yang menggalakkan kita akan teruskan dengan pelbagai program yang memberi manfaat kepada rakyat pada masa akan datang,” ujar beliau.

Sempena majlis, beliau turut menyampaikan bantuan persekolahan Yayasan Pelajaran MARA kepada 20 orang pelajar kurang berkemampuan Sekolah Kebangsaan Kampung Jawa.

Turut hadir ke majlis adalah Ahli Dewan Undangan Negeri Kemelah, Datuk Haji Ayub Rahmat serta Pegawai Daerah Segamat, Haji Abd Rahman Salleh.

This entry was posted in Pendidikan, Usahawan. Bookmark the permalink.