Oleh zuraini@mara.gov.my
media@mara.gov.my
Kuching menjadi salah satu dari enam (6) zon lokasi penganjuran Karnival Pendidikan MARA 2018 @ EduXtra 2018 yang telah bermula pada 16 sehingga 17 Mac 2018 yang lalu. Majlis yang telah dirasmikan oleh YB Datuk Alexander Nanta Linggi, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu berjaya menarik seramai hampir 10,000 orang pengunjung dengan menawarkan hampir 40 booth pemamer dari Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA)/(IPTS) termasuklah Institusi Pendidikan MARA (IPMa).
Pelbagai pengisian menarik yang dapat dikongsi bersama dengan tetamu yang hadir
antaranya pendaftaran terbuka secara online Institusi Pendidikan MARA (IPMa), ceramah kerjaya oleh alumni ANSARA, ujian personaliti oleh Persatuan Kaunselor MARA (PEKAMARA), penyampaian bantuan kemudahan dan pembiayaan program keusahawanan, bantuan persekolahan oleh Yayasan Pelajaran MARA dan banyak lagi.
Sempat ditemubual adalah seorang pengunjung Douglas Rawing Anak Dandy, 17 tahun dari Kota Samarahan yang baru sahaja memperolehi keputusan SPM. Beliau yang ditemani bapanya datang ke karnival tersebut bagi mencari peluang menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
“Saya memperolehi 5A dan amat berminat mengikuti pengajian dalam bidang Perakaunan dan telah pun mendaftar secara online dengan Unit Pusat Institusi Pendidikan Tinggi MARA. Selain dari mendaftar dengan UPIM saya turut dapat mendengar ceramah motivasi oleh ikon angkasawan negara iaitu Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor”, katanya.
Karnival turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran selebriti seperti Datuk AC Mizal dan Aiman Tino yang menyampaikan motivasi dan persembahan masing-masing. Kehadiran mereka ini secara tidak langsung memberi semangat dan motivasi kepada pelajar-pelajar yang berkunjung ke karnival tersebut dan bahawa tiada yang mustahil untuk dicapai sekiranya perancangan awal dibuat.
Ainuddin Fatari petugas dari booth University College Medical and Science (CUCMS) menyatakan jumlah pengunjung yang hadir ke booth mereka bagi mendapatkan khidmat nasihat melanjutkan pengajian amatlah menggalakkan.
“Karnival Pendidikan MARA 2018 ini membantu saya memperkenal serta memasarkan produk keluaran saya iaitu instant pre mix cake di sini” begitu pendapat Nurazimah bt Hipni. Azimah yang juga bekas pelajar GIATMARA Stampin, telah tamat SKM Tahap 2 dalam bidang Confectionary and Bakery pertengahan tahun lalu dan kini telah mengembangkan sayap perniagaan beliau sendiri.
Bersempena dengan perasmian KPM 2018, Datuk Alex turut menyampaikan Anugerah Penerima Pingat Perak International Robotic Olympiad 2017 di Qinhuangdao, China kepada Khairul Zakwan Bin Ahmad dan Yoel Shalom Anak Anding dari MRSM Kuching.
Turut disampaikan oleh beliau ialah mock cheque berjumlah RM500,000.00 kepada Mohammad Alfian Bin Yusop dari Syarikat Almas Collection Sdn. Bhd bagi Skim Pembiayaan Mudah Jaya (SPIM) dan sijil penghargaan kepada 10 orang pelajar dari tiga (3) MRSM di Sarawak yang memperolehi keputusan cemerlang dalam SPM 2017.
Kehangatan KPM Sarawak pada kali ini adalah dengan penganjuran Barber Battle yang menarik seramai 120 orang peserta sekitar Sarawak dan ianya menjadi salah satu tarikan pengunjung kerana ianya menawarkan hadiah berupa wang tunai, peralatan gunting dan trofi. Penganjuran ini bertujuan untuk menonjolkan bakat-bakat muda khususnya dalam bidang menggunting rambut mengikut trend semasa.
Jelas sekali bahawa penganjuran KPM Sarawak 2018 @ EduXtra 2018 kali ini memenuhi keterangkuman ketiga-tiga misi korporat MARA dalam usaha memartabatkan bidang pendidikan, keusahawan dan pelaburan dan ianya dilihat memberi manfaat kepada semua pihak.
-Habis-