
Semua pelajar kumpulan lima MJHEP bergambar bersama wakil YPM, Kementerian Luar Jepun dan Kedutaan Besar Malaysia di Jepun. – Foto NSTP
TOKYO: Semua 130 pelajar cemerlang yang mengikuti Program Pendidikan Tinggi Malaysia Jepun (MJHEP) di kampus MARA-Japan Industrial Institute (MJII) Beranang, Selangor berjaya menempatkan diri di 24 universiti ternama Jepun bagi melanjutkan pengajian peringkat ijazah, semalam.
Pelajar tajaan kerajaan Malaysia melalui Yayasan Pelajaran MARA (YPM) yang baru menamatkan program peringkat diploma selama tiga tahun dalam bidang mekanikal dan elektrik dan elektronik di kampus MJII Beranang akan menyambung pengajian di Tahun Tiga dan Empat di sini sebelum dijangka menamatkan pengajian ijazah sarjana muda pada April, 2020.
Antara universiti ternama dalam bidang kejuruteraan itu termasuk Universiti Sophia, Universiti Meiji, Universiti Tokyo Denki dan Universiti Tokai.
Pensyarah Kejuruteraan Sains Program MJHEP, Muhammad Zulfahmi Samsudin , kumpulan kelima terdiri daripada 70 pelajar jurusan kejuruteraan mekanikal dan bakinya jurusan elektrik dan elektronik akan belajar di 11 institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan 13 institut pengajian tinggi swasta (IPTS) di Jepun termasuk dua IPTS baharu tahun ini iaitu Universiti Toyo dan Chukyo.
Beliau berkata, mereka akan menyertai seramai 453 pelajar sedia ada MJHEP di Jepun yang melanjutkan pengajian peringkat ijazah, sarjana dan Doktor Falsafah di hampir semua wilayah Jepun termasuk Kyoto, Kyushu, Hokkaido, Kumamoto dan Tokyo.
“YPM menapis ketat pengambilan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia untuk menerima tajaan biasiswa bagi melanjutkan pelajaran ke universiti ternama Jepun menerusi Dasar Pandang ke Timur yang diperkenalkan pada 8 Februari 1982.
“Hasil daripada program dan kursus yang intensif dalam bahasa Jepun sepenuhnya di tanah air oleh pensyarah tempatan dan Jepun membolehkan semua pelajar kita berjaya menjejakkan kaki di bumi Matahari Terbit ini dan menamatkan pengajian dengan jayanya,” katanya kepada BH.
Majlis meraikan pelajar berkenaan di Institut Teknologi Shibaura, dekat sini turut dihadiri Timbalan Pengarah, Jabatan Hal Ehwal Asia Tenggara dan Barat Daya, Kementerian Luar Jepun, Daisuke Nihei dan Setiausaha Pertama Pejabat Pendidikan dan Latihan Jabatan Perkhidmatan Awam, Kedutaan Besar Malaysia di Jepun, Nik Ahmad Syazwan Nik Azman.
Sebelum pelajar terbabit bertolak ke universiti masing-masing, mereka turut diberi taklimat dan orientasi serta pendedahan budaya Jepun oleh jawatankuasa persatuan MJHEP diketuai Presidennya, Amir Fakhry Zulkhibri.