‘Anugerah ini tanda kami komited’

Antara penerima bagi 2018 Morningstar Fund Awards bagi kategori Best Asia-Pacific Equity Fund, Best Malaysia Bond (Shariah) Fund, Best Malaysia Bond Fund, Best Malaysia Large-Cap Equity (Shariah) Fund dan Best Malaysia Large-Cap Fund.

PMB Investment raih Anugerah Dana Unit Amanah Syariah Terbaik

PMB Investment Berhad (PMB Investment), sebuah anak syarikat milik penuh Pelaburan MARA Berhad, melalui salah satu dana di bawah pengurusannya, PMB Shariah Premier Fund (PMB

SPF), telah berjaya memenangi Best Malaysia Large-Cap Equity (Shariah) pada Majlis Penganugerahan Morningstar 2018.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan MARA, Datuk Nazim Rahman berkata, hanya lima anugerah yang disampaikan dan PMB SPF merupakan salah satu penerima.

“kami amat gembira dengan penerimaan anugerah berprestij ini. Anugerah ini membuktikan kami sangat komited dalam mengurus dana-dana dan rekod prestasi yang konsisten selain strategi pelaburan yang berkesan bagi memastikan PMB Investment terus menawarkan dana unit amanah yang berkualiti di pasaran,” katanya.

Berdasarkan Lipper Reader Rating bagi kategori saham amanah Ekuiti Malaysia, PMB Shariah Premier Fund mencatatkan prestasi memberangsangkan apabila memberi pulangan sebanyak 29 peratus bagi tempoh setahun, 38 peratus pulangan bagi tempoh tiga tahun dan 45 peratus bagi tempoh lima tahun berakhir 31 Disember 2017.

PMB SPF menawarkan peluang kepada pelabur untuk mencapai pertumbuhan modal dalam jangka masa sederhana sehingga panjang melalui pelaburan dalam mana-mana 50 saham patuh

syariah terbesar dari segi modal pasaran (pada masa pembelian) yang tersenarai di Bursa Malaysia.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment, Najmi Mohamed, anugerah yang diterima adalah penghargaan buat para pelabur PMB Investment yang sentiasa menyokong dan mempercayai syarikat sejak 1967.

“Anugerah ini merupakan permulaan yang baik buat syarikat, saya yakin lebih banyak pencapaian dan pengiktirafan yang bakal diterima pada tahun ini dan kami menyasarkan akan dapat menarik perhatian lebih ramai pelabur,” katanya.

Jelasnya, Asset Under Management (AUM) adalah sebanyak RM1.04 bilion setakat 28 Februari 2018.

“PMB SPF mengalami pertumbuhan saiz dana sebanyak 32.5 peratus kepada RM62.0 juta pada Disember 2017 berbanding RM46.8 juta pada Disember 2016,” katanya.

PMB Investment sebuah syarikat milik penuh Kumpulan Pelaburan MARA Berhad, adalah sebuah Syarikat Pengurusan Pelaburan Islam (Islamic Fund Management Company, IFMC), menguruskan

14 dana unit amanah, dua dana borong dan beberapa mandat portfolio dengan pelaburan dalam kelas-kelas aset ekuiti dan sukuk.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/bisnes/anugerah-ini-tanda-kami-komited-1.812344

 

This entry was posted in Korporat, Pelaburan. Bookmark the permalink.