Yakin kepada sistem pendidikan MRSM

AKTIVITI sukan untuk pelajar MRSM Arau, baru-baru ini. – FACEBOOK RASMI MRSM ARAU

MAKTAB Rendah Sains MARA atau MRSM merupakan satu daripada affirmative action kerajaan dalam usaha memperbanyakkan orang Melayu dalam bidang sains dan teknologi. Dan tentunya ia menjadi idaman kepada semua ibu bapa agar anak mereka mendapat tempat di situ, apatah lagi jika ibu bapa itu sendiri alumni ANSARA.

Saya sendiri bukan alumni, sekadar sekolah menengah kerajaan biasa di Kuching. Namun, saya tahu kelebihan MRSM kerana abang dan kakak saya, masing-masingnya dihantar ke MRSM Kota Bahru dan Kuantan pada 1980-an. Bayangkan tekanan diterima agar mengikut jejak abang dan kakak.

Tapi sudah ditakdirkan saya fobia matematik dan asyik memecahkan botol tabung uji. Sebaliknya saya cenderung kepada aliran sastera dan sehinggalah sekarang, akhirnya membolehkan saya mengendalikan ruangan Merrepak setiap Ahad di Mingguan Malaysia. Memadailah saya sekadar Merrepak mengenai MRSM hari ini.

Jadi Jumaat lepas, saya menaiki penerbangan pertama 7 pagi ke Alor Star, sebelum memandu pula sejauh 41 kilometer ke MRSM Arau di Pauh, Perlis yang saya mesti sampai 9 pagi. Itulah penghujung habis utara dalam lingkaran Lebuh Raya Utara-Selatan.

Saya tiba semasa acara baru bermula. Para pelajar mendendangkan lagu dan antara rangkap yang pantas menarik perhatian ialah:

Di zaman sains dan teknologi,

Negara perlukan jasamu,

Janganlah rasa malas lagi,

Bersama memegang teraju.

Ya, inilah lagu rasmi Maktab Rendah Sains MARA atau (MRSM). Seorang guru di situ menceritakan sepintas lalu tujuan asal MRSM iaitu disediakan khusus untuk anak daripada golongan tidak berkemampuan dan di luar bandar.

Itu asal usulnya. Hari ini, pusingan sudah berlaku iaitu generasi terawal dimasukkan ke MRSM sudah berjaya dalam kerjaya dan kehidupan, kini mahu anak-anak mereka mengikut program MRSM. Namun difahamkan aspek ‘anak orang miskin’ dan ‘luar bandar’ tetap dipegang oleh pentadbir kemasukan MRSM, selain syarat minimum kelulusan peperiksaan awam.

Terdapat dua saluran pengambilan iaitu tingkatan satu dan tingkatan empat. Tingkatan satu adalah berdasarkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah darjah enam, manakala tingkatan empat berdasarkan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

Guru di situ juga memberitahu bahawa masih ada ibu bapa yang membuat rayuan akhir untuk menyertai MRSM setakat minggu lalu. Ini jelas betapa bersungguh-sungguhnya ibu bapa.

Berikut 10 fakta menarik MRSM:

1. Cadangan menubuhkan institusi MRSM mula tercetus pada 1968 ekoran kekurangan golongan bumiputera dalam bidang sains dan teknologi.

2. MARA memperkenalkan MRSM yang pertama pada 1972 yang dikenali sebagai MRSM Seremban. Seramai 150 orang pelajar yang merupakan kumpulan perintis mendaftar masuk ke MRSM Seremban.

3. Pada 1974, peperiksaan SRP diadakan dan ini merupakan peperiksaan utama pertama kali diadakan di MRSM.

4. Di awal penubuhan MRSM, Lembaga Peperiksaan meletakkan institusi MRSM sebagai sekolah persendirian kerana berpendapat MRSM beroperasi secara berasingan daripada sistem pendidikan Kementerian Pendidikan.

5. Pada 1973, MARA membina MRSM kedua, MRSM Kota Bharu di Kelantan. Seramai 149 orang pelajar dan 20 orang kakitangan merupakan kumpulan perintis mendaftar masuk.

6. MRSM Kuantan adalah MRSM ketiga yang dirasmikan pada 1974. Kumpulan pelajar perintis di MRSM Kuantan ini mula menduduki peperiksaan SRP dan Lower Certificate Education (LCE) buat pertama kali pada 1976, dan kumpulan ini berjaya mencatatkan kelulusan penuh 100 peratus.

7. Setakat ini, terdapat 54 buah MRSM di seluruh Malaysia iaitu 47 di Semenanjung dan tujuh di Sabah dan Sarawak

8. MRSM Taiping kini menjadi pilihan ramai kerana reputasinya sebagai MRSM creme de la creme iaitu pelajar terpintar di negara ini.

9. Bermula 2015, tiada lagi MRSM yang mempunyai Tingkatan 1-3 sahaja berikutan pengambilan pelajar Tingkatan 4 dan 5 di kesemua MRSM berkenaan.

10. MRSM juga membuka pintu kepada bukan bumiputera iaitu 10 peratus di maktab tertentu.

Kembali ke MRSM Arau yang baru dibuka pada Julai tahun lepas, tamat ucapan alu-aluan pengetua dan pengerusi penaja badan muafakat, tibalah masanya untuk tokoh yang ditunggu-tunggu iaitu ahli saintis negara, Prof. Dr. Abdul Rahman Mohamed.

Beliau merupakan Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) Universiti Sains Malaysia (USM) dan juga alumni MRSM. Peluang untuk berkongsi ilmu, pendapat dan pandangan cendekiawan Melayu sebegini, tidak harus dilepaskan.

Prof. Dr. Abdul Rahman diiktiraf sebagai Top Research Scientist Malaysia (TRSM) dan pakar dalam Kejuruteraan Reaksi dan Katalisis; Pemantauan dan Kawalan PenceMARAn Udara, Teknologi Bahan Api dan Teknologi Nano.

Namun dalam ucapannya itu beliau tidaklah berceramah mengenai sains dan teknologi. Terus jetlag saya jika beliau buat begitu. Sebaliknya, beliau menekankan mengenai keyakinan beliau terhadap sistem pendidikan yang diguna pakai dan diamal dalam semua institusi MRSM. “Cukup mudah. Saya tidak akan berada di sini hari ini, tidak akan jadi saintis tanpa MRSM,’’ katanya.

Difahamkan ANSARA telah menyusun jadual kepada semua bekas pelajar MRSM yang berjaya, untuk menyumbang kembali kepada alma mater mereka itu sama seperti Prof. Dr. Abdul Rahman itu. Beliau memberikan masanya tampil untuk berceramah kepada pelajar dan ibu bapa mengenai institusi MRSM.

Zaman ini di mana ibu bapa sangat sensitif dan kritikal terhadap pentadbiran sekolah, nampaknya memerlukan usaha berganda bagi meyakinkan mereka bahawa kebajikan anak-anak yang tinggal di asrama MRSM sentiasa dijaga oleh para guru.

Campur tangan keterlaluan atau bersifat kesatuan, tidak membantu sama sekali keharmonian atau kelancaran sesuatu pentadbiran MRSM, itu mesej Prof. Dr. Abdul Rahman.

Entahlah Profesor, nampaknya orang begitu berminat bertanding dalam persatuan ibu bapa dan guru, berbanding persatuan penduduk. Dalam persatuan penduduk, ramai rajin menjadi pengkritik dalam WhatsApp tapi bila masa gotong-royong, dia kemas depan rumah dia sahaja.

Sumber : http://www.utusan.com.my/rencana/utama/yakin-kepada-sistem-pendidikan-mrsm-1.629719

This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.