Rosyam Noor tidak malu berkongsi pengalaman hidupnya

DATUK Mohd Noor Shamsudin atau dikenali sebagai Datuk Rosyam Noor (tengah) bersama peminat di Program Inisiatif Melestari Pembangunan Komuniti di Dewan Maktab Rendah Sains Mara FELDA Trolak. – Foto Rosman Shamsudin

TANJUNG MALIM: Datuk Rosyam Noor tidak lokek dan malu berkongsi pengalaman hidup bermula dari anak setinggan di ibu kota sehingga menjadi pelakon terkenal dan usahawan Bumiputera berjaya seterusnya menjadi ikon generasi muda masa kini.

Rosyam atau nama sebenarnya Mohd Noor Shamsudin berkata, pengalaman beliau hidup dalam serba susah dan kekurangan di kawasan setinggan Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur menjadi motivasi untuk terus berusaha mengubah kehidupan dirinya sehingga berjaya.

“Saya pernah tidur hanya berselimutkan kain guni ketika zaman kanak-kanak,” katanya dalam Majlis Perkongsian Sejarah Kehidupan bersama kira-kira 2,000 penuntut institut pengajian tinggi (IPT) dan belia sempena Program Inisiatif Melestari Pembangunan Komuniti (1MPAK) di Dewan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) FELDA Trolak, di sini hari ini.

Beliau berkata, segala pengalaman hidup yang dikongsinya dalam program itu bertujuan untuk menyedarkan generasi muda hari ini bahawa setiap manusia yang dilahirkan boleh berjaya seperti dirinya, malah mampu lebih berjaya daripada itu jika mempunyai semangat juang yang tinggi dan pandai merebut peluang yang ada dalam dunia serba moden dan teknologi.

“Cabaran masa depan cukup mencabar dan saya mahu generasi muda hari ini bijak merebut peluang dan menguasai teknologi terkini untuk masa depan, bukannya menyalahgunakan teknologi untuk menyebarkan perkara negatif atau memburukkan kerajaan.

“Zaman sekarang dengan bekerja di rumah kita mampu menjana pendapatan dengan menggunakan kemudahan internet dengan memperolehi pendapatan ribuan ringgit dengan mudah dan jika dibandingkan dengan hidup saya dahulu emak saya hanya mampu mendapat RM15 sehari dengan mengambil upah cuci pakaian,” katanya.

Porgram anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) bersama Majlis Amanah Rakyat (MARA) dirasmikan Pengurus Besar FELDA, FELDA Wilayah Trolak, Mohd Haidir Moin, yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Datuk Mohd Khusairi Abd Talib.

Turut hadir, Pegawai Daerah Muallim, Nor Sham Rahman; Timbalan Ketua Pengarah Keusahawanan MARA, Zulfikri Osman dan Pengarah MARA Perak, Yahaya Sani.

Sebelum majlis perasmian, tetamu mendengar ceramah motivasi oleh bekas pelajar MRSM dan Pengasas Klinik Doktor Bergerak (DOC MOVE), Dr Hanafi Yahya yang turut melancarkan aplikasi DOC MOVE sempena program itu.

Pada majlis itu juga Rosyam turut memberikan buku tentang perjalanan suka duka hidupnya sebagai anak setinggan sehingga berjaya menempah nama dalam industri filem dan keusahawanan kepada kepada tetamu secara percuma.

“Golongan Bumiputera, terutama orang Melayu perlu bersyukur dengan kerajaan hari ini menerusi MARA yang banyak membantu memajukan sosioekonomi orang kaum itu sehingga melahirkan ramai golongan usahawan berjaya bertaraf jutawan.

“Sehingga kini masih terdapat segelintir golongan Bumiputera yang lupa diri dengan nikmat dan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan dan jangan sesekali menjadi pengkhianat kepada agama, bangsa dan negara yang banyak berjasa sehingga kini,” kata Rosyam.

Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/03/400598/rosyam-noor-tidak-malu-berkongsi-pengalaman-hidupnya

This entry was posted in Berita Kejayaan, Lain-Lain. Bookmark the permalink.