Masyarakat Siam tidak dipinggir

Caption: SEBAHAGIAN masyarakat Siam melakukan pemeriksaan kesihatan secara percuma sempena Majlis Perhimpunan Memperkasakan Agenda Masyarakat Siam Negeri Kelantan yang dirasmikan oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Wat Utthamaram, Kampung Teresek, Repek FOTO Syamsi Suhaimi

KERAJAAN Persekutuan melalui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) tidak pernah meminggirkan masyarakat Siam, sebaliknya keistimewaan sama turut diperoleh seperti Bumiputera lain di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri, berkata pelbagai manfaat boleh diperoleh etnik Siam menerusi program Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), FELCRA, Majlis Amanah Rakyat (MARA) serta Giat MARA dalam usaha meningkatkan lagi ekonomi dan pendidikan mereka.

Bagaimanapun, katanya, permohonan daripada Bumiputera Siam itu untuk menyertai program berkenaan terlalu sedikit jika dibandingkan dengan masyarakat lain menyebabkan mereka banyak terlepas peluang mendapatkan manfaat daripada kerajaan.

MENTERI Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut melakukan pemeriksaan kesihatan sambil diperhatikan Pengerusi Persatuan Wanita Siam Negeri Kelantan, KC Ngiam A/P Eh Kuan (tengah) ketika membuat lawatan di gerai pameran sempena Majlis Perhimpunan Memperkasakan Agenda Masyarakat Siam Negeri Kelantan yang dirasmikan oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Wat Utthamaram, Kampung Teresek, Repek. FOTO Syamsi Suhaimi

“Kita dapati masyarakat Siam seluruh negara terutama di Kelantan kurang mendapatkan pendedahan mengenai program yang disediakan kerajaan sekali gus menjadi faktor permohonan mereka diperoleh sangat sedikit.

“Buat masa ini, hanya 13 peserta skim tanaman semula getah bawah RISDA, 10 peserta rancangan tanah FELCRA, lima pelajar Giat MARA, serta sembilan pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) daripada etnik Siam seluruh negara, padahal semua keistimewaan itu sudah lama disediakan kepada mereka.

“Jika syarat seperti kemasukan ke MRSM terlalu tinggi buat mereka menyebabkan permohonan sedikit, saya akan melonggarkan syaratnya sama seperti penduduk luar bandar iaitu perlu mendapat sekurang-kurangnya 3A dalam Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Agenda Memperkasakan Masyarakat Bumiputera Siam di Wat UttaMARAm, Repek, Pasir Mas, semalam.

Ismail Sabri berkata, walaupun seramai 17,000 masyarakat Siam membabitkan 32 perkampungan di Kelantan di bawah pentadbiran kerajaan negeri, mereka tidak terlepas pandang menerima layanan sama seperti bangsa lain.

Katanya, anak masyarakat Siam yang tidak berjaya dalam pendidikan, mereka boleh belajar kemahiran di Giat MARA kerana bukan saja elaun belajar RM200 diperoleh, malah bantuan peralatan bagi membuka perniagaan turut diberikan sebaik tamat program berkenaan.

“Oleh kerana mereka didapati kurang mendapat pendedahan, saya menerusi KKLW akan mengadakan satu lagi program menghimpunkan masyarakat Siam bersama RISDA, FELCRA, serta MARA bagi menjelaskan apa keperluan menyertai semua program kerajaan terbabit,” katanya.

Seorang pelajar Giat MARA di Kubang Kerian, Kota Bharu, Sa Nguam, 38, berkata dia berterima kasih kepada kerajaan kerana tidak pernah meminggirkan masyarakat Siam apabila diberi peluang belajar kemahiran solekan dan terapi kecantikan seperti diimpikan.

“Saya tidak pernah menganggap masyarakat Siam dipinggirkan Kerajaan Pusat, sebaliknya kami masih tidak tahu mengenai program dan bantuan yang disediakan memandangkan ramai kalangan kami tinggal di luar bandar,” katanya yang menjadi pelajar Giat MARA selama enam bulan.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2018/03/322352/masyarakat-siam-tidak-dipinggir 

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.