IBUBAPA PUJI SISTEM HOMEROOM MRSM

Homeroom Cikgu Shakimah

Oleh : Ziela Amin
media@mara.gov.my

Bentong, 15 Mac – Sistem homeroom yang dilaksanakan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bentong, dilihat berjaya mewujudkan suasana persaudaraan dalam meningkatkan kecemerlangan sahsiah dan pendidikan. Pada hari yang bersejarah ini, homeroom Cikgu Shakimah Abdul Razak guru subjek Matematik telah diangkat sebagai homeroom terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017 apabila berjaya melahirkan modal insan cemerlang.

Sistem homeroom telah diperkenalkan pada tahun 1972, setiap pelajar MRSM diletakkan dalam satu kumpulan dengan anggaran pelajar seramai 15 orang dan diketuai oleh seorang guru sebagai ibu atau bapa angkat. Apabila homeroom ini terlaksana, kita dapat melihat wujudnya semangat kekeluargaan dan pada masa sama, kita juga berupaya membentuk sikap, mengembangkan minat, memastikan kebajikan pelajar, selain mendidik mereka menjadi insan holistik.

Ahli homeroom berkenaan yang mendapat keputusan 9A, Adik Hadirah Ahmad Radzuan berkata, Cikgu Shakimah seorang yang ceria dan sangat penyayang.

Anugerah Homeroom Akademik Terbaik

“ Cikgu adalah seorang yang bersahaja dan tidak kedekut ilmu malah sentiasa memberi pelbagai tip dan semangat untuk menghadapi peperiksaan SPM. Saat yang paling tidak dapat kami lupa adalah semasa jamuan perpisahan homeroom yang meninggalkan seribu kenangan dan nostalgia terindah,” katanya.

Menurut salah seorang bapa ahli homeroom tersebut, Encik Syahrizam Sakmin@Sahmin berkata, peranan homeroom dilihat sebagai kritikal dan mustahak untuk membimbing pelajar yang masih mentah, terutama dalam kalangan mereka yang datang dari luar bandar.

“Terima kasih kepada guru homeroom anak saya, Mohammad Shafie kerana telah memberi tunjuk ajar dan berkongsi pengalaman serta resipi kejayaan sehingga beliau berjaya peroleh 9A dalam SPM,” ujarnya gembira.

Sistem homeroom adalah teras kepada sistem pendidikan MRSM untuk mendidik pelajar menjadi matang dan menjadi insan lengkap untuk menghadapi cabaran masa akan datang.

 

 

 

This entry was posted in Berita Kejayaan, Pendidikan. Bookmark the permalink.