
Penganjuran EduXtra Karnival Pendidikan MARA di Johor mendapat sambutan positif daripada para pengunjung.
oleh : Shahrul@tangkak
Johor Bahru, 18 Mac – Jelajah EduXtra 2018 di Johor melabuhkan tirainya pada hari ini dan menepati sasaran apabila seramai 50,000 pengunjung menghadiri karnival pendidikan ini yang bermula dari semalam.
Menurut Pengarah MARA Negeri Johor, Nor Hashimi Mahat, EduXtra 2018 atau Karnival Pendidikan MARA sememangnya menjadi platform terbaik kepada para pelajar lepasan SPM di sekitar negeri ini untuk menentukan hala tuju pendidikan mereka.
“Ini dapat dibuktikan apabila penganjuran karnival ini di negeri Johor mendapat sambutan hangat bukan sahaja daripada para pelajar malah menarik minat para ibu bapa dalam mengenalpasti hala tuju terbaik masa hadapan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui di lokasi Eduxtra Johor 2018 di Plaza Angsana hari ini.
Hashimi turut berharap agar sokongan seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan dalam memastikan setiap pelajar mempunyai ruang melanjutkan pengajian ke tahap lebih baik tidak kira apa jua pencapaian akademik mereka.
“Kita telah menyediakan pelbagai platform terbaik bagi kemudahan anak bangsa kita melanjutkan pengajian sama ada dalam bidang akademik mahu pun bidang teknikal, justeru orang ramai seharusnya mengambil peluang yang disediakan dalam memajukan diri mereka ke tahap yang lebih baik,” katanya lagi.
Seterusnya, Eduxtra 2018 akan menjelajah ke Zon Utara di Dewan Majlis Bandaraya Alor Setar, Kedah serta ke Zon Timur di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu pada 21 hingga 22 Mac ini.
TEMUI ANDA DI SANA!