oleh : Shahrul@tangkak
Johor Bahru, 17 Mac – EduXtra atau Karnival Pendidikan MARA terus menjadi pilihan golongan pelajar terutamanya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menentukan hala tuju pendidikan serta penentuan karier pada masa hadapan.
Menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, ini dibuktikan apabila hari pertama EduXtra 2018 di Johor mendapat sambutan memberangsangkan apabila lebih 25,000 pengunjung menghadiri program berkenaan yang bermula hari ini.
“Terima kasih atas inisiatif MARA melaksanakan EduXtra ini dan saya menyeru kepada orang ramai untuk terus hadir memanfaatkan program dua hari di Plaza Angsana ini dalam mendapatkan maklumat untuk melanjutkan pengajian berdasarkan kelayakan akademik yang ada,” katanya.
Sementara itu, menurut seorang pengunjung, Sadiq dari Senai berkata beliau amat tertarik dengan penganjuran karnival ini yang membawa pelbagai institusi pendidikan awam dan swasta.
“Pada mulanya, saya hanya ingin ke “booth” Kolej Profesional MARA sahaja tetapi tidak menyangka karnival ini membawa banyak institusi yang memberi pelbagai pilihan untuk saya menentukan hala tuju pengajian masa depan,” ujarnya.
Seorang lagi pengunjung, Siti Aishah dari Kota Tinggi menjelaskan beliau hadir ke karnival ini setelah mendapat maklumat daripada rakan beliau berkenaan peluang melanjutkan pengajian ke luar negara dan pinjaman pendidikan yang disediakan.
“Kepada semua lepasan SPM di luar sana dicadang untuk ke karnival ini yang memberi banyak informasi yang diperlukan dalam menentukan bidang pengajian yang sesuai untuk diikuti,” jelasnya.
EduXtra 2018 di Johor akan berakhir pada esok hari dan orang ramai masih berpeluang dan dijemput hadir kerana pelbagai program menarik telah disusun untuk anda.