PMB Investment sasar RM1.9 bilion aset pelaburan 2018

MENTERI Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Pengerusi PMB Investment Berhad, Datuk Abdul Malik Ismail (dua dari kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan MARA Berhad, Datuk Ahmaf Nazim Rahman (tiga dari kiri) pada majlis pengumuman prestasi dana terbaik PMB Investment dan pengagihan pendapatan PMB Shariah Growth Fund di Kuala Lumpur. – Foto Saddam Yusoff

KUALA LUMPUR: PMB Investment Bhd (PMB Investment), anak syarikat Pelaburan Mara Bhd mengunjurkan jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) berjumlah RM1.9 bilion, pada akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan Mara, Datuk Ahmad Nazim Rahman, berkata setakat 28 Februari lalu, jumlah AUM PMB Investment adalah sebanyak RM1.040 bilion dan pihaknya optimis untuk penambahan sebanyak RM850 juta lagi untuk tahun ini.

“Prestasi positif itu akan dipacu oleh peningkatan dalam dua segmen iaitu pelabur runcit (perseorangan) dan pelabur korporat (institusi) yang mana kini masing-masing menyumbang kepada 50 peratus portfolio pelaburan.

“Pada tahun ini, kami menyasarkan RM350 juta diperoleh daripada pelabur runcit, manakala bakinya menerusi pelabur korporat dengan pelaksanaan lebih banyak promosi dan pengukuhan saluran pengedaran serta jualan melalui ejen di seluruh negara,” katanya selepas majlis pengumuman prestasi dana terbaik PMB Investment dan pengagihan pendapatan PMB Shariah Growth Fund (PMB SGF), di sini, hari ini.

Majlis disempurnakan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Hadir sama, Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Azhar Abdul Manaf dan Pengerusi PMB Investment, Datuk Abdul Malik Ismail.

Agihan pendapatan dana ekuiti, PMB SGF adalah 12 sen seunit bersamaan kadar pulangan sebanyak 8.85 peratus bagi tahun kewangan berakhir 28 Februari 2018.

Jumlah pengagihan sebanyak RM4.1 juta akan dibayar kepada 4,237 pelabur korporat dan runcit.

Sementara itu, Ismail ketika berucap pada majlis berkenaan turut mengumumkan prestasi lima dana terbaik daripada 14 dana di bawah pengurusan PMB Investment.

Lima dana berkenaan adalah PMB Shariah Aggressive Fund, PMB SGF, PMB Shariah Small-Cap Fund, PMB Shariah Premier Fund dan PMB Shariah Dividend Fund.

Ismail berkata, dana PMB Investment sudah merekodkan prestasi membanggakan dan terdapat peningkatan pelaburan berganda.

“Sambutan yang menggalakkan ini menunjukkan PMB Investment mendapat kepercayaan pelabur berikutan pulangannya yang tinggi dan konsisten.

“Justeru, PMB Investment perlu menarik lebih ramai masyarakat pelabur untuk mengenali PMB Investment sebagai sebuah syarikat milik organisasi Bumiputera yang menawarkan produk berprestasi tinggi.

“Saya berharap kempen berterusan dan agresif akan dilakukan oleh PMB Investment bagi meningkatkan jumlah pelabur menerusi pelan pemasaran yang berkesan,” katanya.

Pada majlis sama, beliau juga mengumumkan pembukaan akaun pelaburan bernilai RM1,000 kepada 52 anak pelabur PMB Investment yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hari ini.

Sumber :  https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2018/03/399838/pmb-investment-sasar-rm19-bilion-aset-pelaburan-2018

This entry was posted in Korporat, Pelaburan. Bookmark the permalink.