MRSM terus catat prestasi cemerlang

KUALA LUMPUR 15 Mac – Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) sekali lagi telah berjaya mencapai prestasi yang cemerlang dengan mencapai 100 peratus gred lulus dan mencatatkan indeks Gred Purata Maktab (GPM) yang lebih baik iaitu 2.248 berbanding 2.4724 pada tahun 2016. Nilai GPM yang lebih kecil menunjukkan pencapaian yang lebih baik.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bahagian Komunikasi Korporat MARA, sebanyak 8,200 orang pelajar dari 51 buah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di seluruh Malaysia telah menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017.

Berdasarkan kepada pengumuman keputusan peperiksaan tersebut, seramai 1,109 daripada 8,200 atau 13.52 peratus calon SPM 2017 memperoleh gred semua A (A+, A, A-) dalam semua mata pelajaran yang diduduki berbanding 959 calon

atau 12.99 peratus pada tahun 2016. Pada tahun ini juga, seramai 16 calon atau 0.2 peratus memperoleh gred A+ bagi semua subjek yang diduduki berbanding 9 calon atau 0.12 peratus pada tahun sebelumnya.

Keputusan SPM pada tahun ini juga mencatatkan 11 buah MRSM telah menunjukkan prestasi yang cemerlang iaitu MRSM Alor Gajah, MRSM Bentong, MRSM Kepala Batas, MRSM Kubang Pasu, MRSM Kota Putra, MRSM Langkawi, MRSM Pasir Salak, MRSM

Pengkalan Chepa, MRSM Pengkalan Hulu, MRSM Taiping dan MRSM Tun Ghafar Baba.

Peningkatan prestasi mata pelajaran mencatatkan 14 daripada 18 mata pelajaran meningkat secara menyeluruh. Semua mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, Sejarah dan Matematik menunjukkan peningkatan prestasi, begitu juga dengan lapan (8) mata pelajaran elektif yang lain seperti Fizik, Kimia, Prinsip Perakaunan, Pendidikan Seni Visual, Tasawwur Islam, Bahasa Arab, Rekacipta dan Information & Communication Technology (ICT).

Pencapaian cemerlang MRSM dalam SPM 2017 membuktikan bahawa Sistem Pendidikan MRSM (SPMRSM) yang berfokuskan kepada STREAM (Science, Technology, Religion, Engineering, Arts, Mathematics) mampu untuk menghasilkan pelajar bumiputera

terutamanya dari kawasan luar bandar telah membuahkan hasil dan terbukti mencipta perubahan arus pendidikan menengah di negara kita.

Sumber:  http://www.utusan.com.my/berita/nasional/mrsm-terus-catat-prestasi-cemerlang-1.628291

This entry was posted in Berita Kejayaan, Pendidikan. Bookmark the permalink.