Karnival Pendidikan MARA mula menjelajah ke Johor dan Sarawak esok

oleh : Shahrul@tangkak

Johor Bahru, 16 Mac – Karnival Pendidikan MARA 2018 yang kini dikenali dengan jenama EduXtra akan memulakan jelajahnya yang pertama di Johor dan Sarawak pada hari esok.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, program ini merupakan platform kepada pelajar khususnya lepasan menengah dan ibu bapa untuk mendapatkan maklumat secara terus dalam menentukan hala tuju pendidikan serta penentuan karier pada masa hadapan.

Bagi tahun ini, EduXtra akan menjelajah ke enam lokasi dengan menempatkan hampir 500 ruang pameran pendidikan dari Institusi Pendidikan MARA (IPMa), Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) dari seluruh Malaysia dan luar negara.

Menariknya, EduXtra bukan sahaja menempatkan institusi pendidikan di bawah satu bumbung malah turut membawa agensi pinjaman pelajaran serta perniagaan berasaskan pendidikan.

MARA sahaja mempunyai 345 institusi pendidikan termasuk yang menawarkan kursus di dalam bidang kemahiran yang mana gugusan institusi ini telah mengeluarkan 750,000 orang graduan dan saban tahun tidak kurang dari 30,000 anak didik MARA berjaya menembusi ke pasaran kerjaya di samping menceburi bidang keusahawanan sebagai kerjaya pilihan.

Di Johor, program ini akan berlangsung selama dua hari bertempat di Plaza Angsana, Johor Bahru yang disertai lebih daripada 50 IPTA dan IPTS termasuk IPMa yang bersedia memberi info secara langsung di samping penawaran kemasukan secara terus apabila memenuhi syarat.

Selain daripada itu, EduXtra Johor juga menyediakan forum dan juga ceramah berkenaan bimbingan pendidikan dan kerjaya seperti cara untuk membina kerjaya yang cemerlang, hala tuju selepas SPM serta peluang melanjutkan pengajian di IPMa.

Justeru, orang ramai terutamanya para pelajar lepasan sekolah dijemput hadir untuk mendapatkan maklumat berkenaan arah tuju untuk menyambung pengajian kerana karnival ini akan membantu anda mencapai matlamat dan keinginan tidak kira apa jua pencapaian akademik yang anda miliki.

Info Eduxtra 2018 :
Facebook : https://www.facebook.com/karnivalpendidikanmara
Instagram : https://www.instagram.com/karnivalpendidikanmara_eduxtra
Twitter : https://twitter.com/kpm_eduxtra
Laman Web : http://karnivalpendidikan.mara.gov.my

 

This entry was posted in Pendidikan and tagged , , . Bookmark the permalink.