‘Ini antara alternatif buat anda selepas SPM’

Walaupun gagal meraih keputusan SPM yang baik, anda perlu bersikap optimis dan tidak berputus asa untuk terus menggapai impian. -Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Dalam kita menyambut peningkatan baik keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017, jangan kita lupa kepada pelajar yang gagal mendapat keputusan yang baik.

Hakikatnya, belia merupakan aset negara dan mereka perlu diberi segala peluang yang ada bagi membina karier mengikut kebolehan masing-masing agar tenaga muda yang ada tidak persia-siakan.

Mungkin sukar untuk mereka mendapat tempat di universiti awam mahupun swasta, namun ia bukan pengakhiran dalam hidup.

Jika anda buntu mencari jalan kerana tidak mendapat tawaran universiti, asasi, mahupun kolej matrikulasi, jangan risau kerana masih banyak jalan untuk melangkah ke hadapan!

1) Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM)

STPM menawarkan dua aliran iaitu kesusasteraan dan sains. Calon boleh memilih aliran yang sesuai dengan kehendak sebagai satu persediaan sebelum melangkah ke universiti.

Tempoh pengajiannya hanya satu tahun setengah dan calon berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sarjana muda.
Kaedah pengajiannya juga bukan intensif peperiksaan sebaliknya lebih berorientasikan tugasan. Ini membolehkan pelajar fokus kepada peperiksaan sebenar.

2) Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM)

Jika anda berminat dalam bidang pengajian agama Islam, STAM menawarkan pelbagai subjek yang fokus terhadap Pengajian Islam seperti Bahasa Arab, Fekah, Hadis, dan Kesusasteraan Arab.

Jangan pandang sebelah mata kerana calon yang berjaya dalam STAM, anda mempunyai peluang cerah untuk sambung pengajian ke luar negara!

3) Politeknik

Pembelajaran di dalam kelas yang fokus terhadap teori mungkin membosankan bagi seseorang.

Jika anda berminat pembelajaran yang banyak melakukan tugasan teknikal, politeknik merupakan satu jalan yang amat sesuai

Di politeknik, pelbagai kursus diploma ditawarkan dengan fokus kepada kemahiran seperti kejuruteraan, perakaunan, perekaan, perhotelan, dan pelbagai lagi.

Graduan-graduan politeknik sering menjadi rebutan pemain industri kerana mereka mempunyai kebolehan daripada segi kemahiran.

4) Sijil Kemahiran

Selain itu, anda boleh mempelajari pelbagai ilmu kemahiran peringkat sijil di institusi-institusi kemahiran.

Sebagai contoh Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Institut Latihan Perindustrian (ILP), Institut Kemahiran MARA (IKM), Akademi Binaan Negara (ABN), Kolej Komuniti dan banyak lagi menawarkan pelbagai sijil kemahiran.

Sijil kemahiran seperti masakan, teknologi pembuatan, pengkomputeran, pembinaan, malah perpaipan ditawarkan memenuhi keperluan industri semasa.

Dengan sijil ini, anda berpotensi melangkah ke peringkat diploma atau anda juga layak bekerja di dalam industri.

Apa pun, kejayaan tidak datang dengan mudah asalkan anda tahu mencari jalan yang sesuai dan bersikap optimis.

Bagi pelajar lepasan SPM 2017 yang gagal beroleh keputusan yang diharapkan, jangan putus asa dan inilah masa untuk anda bangkit!

Sumber:  http://www.astroawani.com/berita-malaysia/ini-antara-alternatif-buat-anda-selepas-spm-170583

This entry was posted in Lain-Lain, Pendidikan. Bookmark the permalink.