MELAKA 9 Mac – Kolej Profesional MARA Ayer Molek akan menganjurkan Karnival Keusahawanan MARA selama empat hari di kolej itu di Jalan Tiang Dua di sini bermula 15 hingga 18 Mac ini.
Pengarahnya, Dr. Mumtaz Begam Abdul Kadir berkata, program tersebut diadakan bagi mempromosi serta menggalakkan para pelajar menjadi usahawan yang berdaya saing.
“Pelbagai acara menarik diatur sepanjang program tersebut antaranya Karnival Jualan Aymofest dan jualan but kereta, majlis tadarus al-Quran peringkat daerah Melaka Tengah, pertandingan catur, pertandingan mewarna serta pemeriksaan kesihatan dan kempen derma darah.
“Turut diadakan adalah festival nasyid, karnival kerjaya, bicara tokoh, ceramah agama, kejohanan petanque, bengkel memanah dan pertandingan bola sepak jalanan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mumtaz Begam, majlis perasmian program itu yang akan bermula pukul 8.30 pagi hingga 11 malam setiap hari, dijangka akan disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron pada pukul 10 pagi 17 Mac depan.
Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/melaka/karnival-keusahawanan-mara-15-hingga-18-mac-1.623988