MARA Digital kelima dibuka di Melaka bulan ini

Hasan (tiga dari kiri) melawat kiosk jualan gajet dan peralatan ICT pada Majlis Prapelancaran Mara Digital@Sungai Rambai di Pusat Transformasi Luar Bandar Sungai Rambai di Jasin hari ini.

JASIN – Majlis Amanah Rakyat (MARA) membuka MARA Digital, perniagaan produk berasaskan telekomunikasi, digital dan teknologi maklumat (ICT) yang pertama di negeri ini dan kelima dalam negara.

Pusat perniagaan yang mula beroperasi di Sungai Rambai di sini sejak minggu lalu itu menempatkan peniaga Bumiputera yang menjual gajet dan peralatan ICT.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Abdul Rahman berkata, MARA Digital tersebut yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 20 Mac ini mampu merubah lanskap selatan Melaka.

“Melalui pembukaan MARA Digital di daerah kecil Sungai Rambai ini akan membantu kerajaan negeri mempromosikan kawasan selatan Melaka sebagai pusat tumpuan jualan produk-produk ICT pada masa akan datang.

“Saya menyeru para usahawan yang dipilih supaya berusaha lebih gigih dan memastikan produk jualan mampu menarik pengunjung dari Melaka dan utara Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis prapelancaran MARA Digital@Sungai Rambai di Pusat Transformasi Luar Bandar Sungai Rambai hari ini. – K! ONLINE

Sumber: http://www.kosmo.com.my/terkini/mara-digital-kelima-dibuka-di-melaka-bulan-ini-1.626699

This entry was posted in Berita Kejayaan, Korporat, Usahawan. Bookmark the permalink.