Program GETS terima 5,000 permohonan

BELIA yang hadir mengambil peluang untuk mengetahui lebih lanjut mengenai program GETS dalam siri jelajah 1MPAK di Dewan SK Senggarang, Batu Pahat, Johor. – Foto Essa Abu Yamin

BATU PAHAT: Program Graduate Employability Training Scheme (GETS) anjuran Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) mendapat sambutan menggalakkan apabila menerima lebih 5,000 permohonan.

Program menerusi inisiatif Melestari Pembangunan Komuniti (1MPAK) itu dilihat lebih lengkap berbanding program lain, selain semua syarikat mengambil bahagian perlu mendaftar jumlah kekosongan jawatan di syarikat masing-masing.

Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata GETS adalah satu program yang memberi latihan dan kemahiran kepada peserta sebelum ditawarkan pekerjaan tetap dan ia terbuka kepada semua warga Malaysia yang tamat persekolahan.

“Program GETS mempunyai perbezaan dengan program lain seperti Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) dan program Graduate Employability Management Scheme (GEMS) kerana GETS menawarkan peluang pekerjaan kepada graduan apabila tamat latihan.

“Syarikat dan rakan industri pula perlu mempunyai kekosongan jawatan sebelum boleh mendaftar untuk menyertai program itu. Bagi 1MPAK pula, ia satu kesinambungan kepada usaha MARA menerajui agenda pembangunan Bumiputera di kawasan luar bandar dengan menghimpunkan semua inisiatif MARA ke akar umbi menerusi empat fokus utama iaitu pendidikan, peluang pekerjaan, keusahawanan dan tanggungjawab sosial MARA.

“Ia menggunakan pendekatan baharu lebih dinamik, yang mana pengunjung 1MPAK berkesempatan merebut peluang ditawarkan MARA khususnya dalam bidang pendidikan dan keusahawanan,” katanya pada sidang media Program 1MPAK di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Senggarang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Infrastruktur Komersial MARA, Mohd Diah Abas dan Pengarah MARA Johor, Nor Hashimi Mahat.

Puad berkata, komitmen MARA di Batu Pahat membabitkan bidang keusahawanan dan sejak 2011, MARA Batu Pahat merekodkan kelulusan RM47 juta kepada 879 usahawan dengan 50 peratus daripada mereka adalah usahawan kontraktor.

“Jumlah selebihnya adalah usahawan kecil dengan pelbagai jenis perniagaan seperti perkhidmatan, perdagangan dalam talian dan lain-lain,” katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/03/397978/program-gets-terima-5000-permohonan

This entry was posted in Korporat, Pendidikan, Usahawan. Bookmark the permalink.