Bekas ustazah megah di Belanda

FARIDAH (enam dari kanan) pada hari konvokesyen.

Johor Bahru: Minatnya yang cenderung melakukan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) membawa tuah kepada seorang wanita apabila menerima Anugerah Tulips daripada International University of Georgia, Belanda atas kejayaan menghasilkan bahan rawatan sental tubuh berasaskan bahan semula jadi.

Faridah Hamzah, 35, anak jati Johor terpilih bagi menerima anugerah itu bersempena Majlis Konvokesyen universiti berkenaan pada 10 Februari lalu.

Selain Faridah, empat lagi penuntut universiti sama yang juga rakannya berasal dari Kuala Lumpur turut menerima anugerah atas kecemerlangan masing-masing.

Katanya, Anugerah Tulip ini adalah pengiktirafan tahunan Kementerian Luar Negeri Belanda kepada individu yang memperjuangkan hak asasi manusia dengan cara yang inovatif.

“Sebenarnya saya sendiri tidak sangka produk dihasilkan ini berjaya menarik minat juri memandangkan 20 dari 80 rakan saya menuntut dalam jurusan sama turut mengambil bahagian.

“Bagi saya harapan untuk menang anugerah tipis berikutan peserta lain lebih hebat dan berpengalaman dalam bidang perniagaan masing-masing,” katanya.

FARIDAH menunjukkan antara sijil yang diperolehnya

Bekas guru agama itu berkata, dia berhenti makan gaji pada 2016 selepas 15 tahun mengajar kerana mahu serius dalam bidang perniagaan.

“Idea menghasilkan bahan rawatan sental tubuh timbul selepas kulit saya menjadi semakin gelap berikutan kerap berjemur ketika memancing. Produk dihasilkan berasaskan kopi premium dicampur minyak argan. Terbaru saya hasilkan produk sama menggunakan buah-buahan dan daun jambu batu bagi membantu mencerahkan kulit.

“Bahan rawatan sental tubuh menggunakan daun azaradihcta indica iaitu daun semambu pula bukan saja mampu mencerah dan mencantikkan kulit, malah boleh membantu merawat penyakit kulit,” katanya.

Usahawan berasal dari Pasir Gudang itu memberitahu, berbekalkan modal RM8,000 dia menjalankan aktiviti R&D selepas mendapati ramuan digunakan memberikan kesan positif dan mula merancang untuk mengkomersialkan produk itu.

Pada masa sama, Faridah melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan di International University of Georgia, yang juga program kerjasama dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Jelasnya program itu dianggap sebagai amat bagus berikutan mampu melahirkan usahawan muda yang lebih bersedia untuk berdepan situasi pasaran yang sebenar.

Produk dihasilkan Ibu kepada empat anak berusia empat hingga 13 tahun dipasarkan secara atas talian, Faridah turut menggunakan kesempatan mengikuti program jelajah perniagaan untuk mempromosikan bahan rawatan sental tubuh itu.

FARIDAH bersama produk yang menggunakan bahan semula jadi hasil buatannya sendiri.

Bagi memastikan produknya selamat digunakan Faridah, kini dalam proses mendapatkan sijil R&D yang dijangka selesai sepenuhnya menjelang hujung tahun ini.

“Saya mahu jadi ikon kepada anak-anak, sebab itu pilih untuk sambung pengajian ke peringkat ijazah dan serius dalam perniagaan.

“Penghargaan diberikan membakar semangat saya untuk terus bekerja keras bagi memperoleh lebih banyak pengiktirafan,” katanya.

Pemegang Diploma Pengajian Islam dan Syariah, Universiti Utara Malaysia (UUM) itu juga aktif bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Johor antaranya Serikandi Malaysia Johor.

Sumber:  https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2018/03/320432/bekas-ustazah-megah-di-belanda

This entry was posted in Berita Kejayaan, Lain-Lain. Bookmark the permalink.