1MPAK Beri Manfaat Besar Kepada Rakyat

Mohd Puad (tiga dari kanan) menyampaikan cek Program Anak Angkat Yayasan Pelajaran MARA bagi negeri Johor semasa merasmikan program 1MPAK Batu Pahat

Batu Pahat, 10 Mac – Inovasi pelaksanaan program Inisiatif Melestari Pembangunan Komuniti (1MPAK) oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah (KKLW) melalui agensinya Majlis Amanah Rakyat (MARA) membuka banyak peluang untuk dimanfaatkan rakyat terutamanya di luar bandar.

Menurut Ketua Pengarah JASA, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi, pendekatan turun padang dengan maklumat keusahawanan dan pendidikan secara terus kepada masyarakat merupakan satu usaha terpuji sekali gus membuktikan kerajaan amat peka dengan keperluan dan tuntutan rakyat.

“Program ini merupakan langkah terpuji bertepatan dengan usaha berterusan kerajaan dalam memastikan kesejahteraan hidup rakayat terutamanya mereka yang berada di luar bandar dapat ditingkatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa hadir merasmikan program 1MPAK Parlimen Batu Pahat di Sekolah Kebangsaan Senggarang di sini hari ini.

Mohd Puad menambah, inisiatif yang di bawa oleh MARA dengan membawa peluang pekerjaan melalui ‘Graduate Employability Traning Sheme’ (GETS) di 1MPAK ini juga amat signifikan dalam mendepani kehendak dan tuntutan semasa.

“Isu peluang pekerjaan merupakan antara dilema utama golongan belia walau pun mereka mempunyai latar belakang pendidikan yang baik, justeru golongan ini perlu memanfaatkan peluang yang disediakan hari ini sebaik-baiknya,” katanya lagi.

Ulasnya lagi, masyarakat sekitar juga perlu memanfaatkan peluang keusahawanan yang disediakan oleh MARA dalam melonjakkan lagi ekonomi setempat.

“Pendekatan yang disediakan oleh MARA adalah unik dan menyeluruh seperti usaha pembangunan usahawan baru, pembiayaan perniagaan, kursus keusahawanan dan pelbagai lagi yang boleh dimanfaatkan oleh rakyat,” jelas beliau.

Program di Parlimen Batu Pahat ini merupakan lokasi ke-15 jelajah 1MPAK sejak dilancarkan di Bera, Pahang pada Januari.

Turut hadir ke majlis adalah Pengarah Infrastruktur Komersial MARA, Mohd Diah Abas serta Pengarah MARA Negeri Johor, Nor Hashimi Mahat.

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.