Batu Pahat, 9 Mac – Program Inisiatif Melestari Pembangunan Komuniti (1MPAK) meneruskan jelajahnya di Batu Pahat pada esok hari bertempat di Sekolah Kebangsaan Senggarang bermula jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang.
Pelbagai program telah diatur di 1MPAK Batu Pahat ini selaras dengan objektifnya dalam membuka peluang pendidikan, peluang pekerjaan, usaha membangunkan usahawan di samping program inisiatif sosial dalam menyumbang semula kepada masyarakat.
Antara program yang telah diatur adalah seminar pendidikan dan keusahawananan di samping pelbagai pengisian menarik seperti jualan food truck dan IKS, kaunter perkhidmatan jabatan kerajaan, sukan rakyat serta beberapa acara pertandingan seperti mewarna, memasak dan gubahan serta hiasan.
Program ini turut membawa secara dekat ekosistem keusahawanan MARA meliputi aspek pembangunan usahawan, perniagaan mahu pun sokongan modal untuk dimanfaatkan usahawan setempat.
Menariknya, 1MPAK di Batu Pahat turut membuka peluang pekerjaan untuk dipadankan kepada para lepasan sekolah dan universiti melalui program terbaharu MARA iaitu Graduate Employability Training Scheme (GETS) yang mana mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat lebih lanjut di http://www.1mpak.my.
Justeru, orang ramai digesa untuk sama-sama hadir dan mengambil bahagian secara aktif di 1MPAK Batu Pahat esok!