
SEBAHAGIAN penuntut Mara yang menerima sijil kelulusan bantuan pinjaman pengajian sempena Siri Jelajah IMPAK di Bachok, Kelantan, hari ini.- UTUSAN ONLINE
BACHOK 3 Mac – Program Inisiatif Melestari Pembangunan Komuniti (IMPAK) anjuran Kementerian Luar Bandar dan Kemajuan Wilayah (KKLW) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) menyasarkan 25,000 peluang pendidikan dan keusahawanan belia menerusi 27 siri jelajah program berkenaan di seluruh negara.
Pengerusi Mara, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, pihaknya telah membuka pendaftaran bagi Program Graduate Empoyability Training Skill (GETS) iaitu program perantis yang memberi persiapan kemahiran kepada graduan untuk dipadankan dengan keperluan industri.
Menurutnya, bagi mencapai tujuan itu, IMPAK menampilkan beberapa wakil industri bagi memberi peluang kepada belia untuk berinteraksi secara langsung dan jelajah berkenaan sehingga hari ini sudah mencatat lebih 5,000 permohonan dalam kalangan pengunjung.
“Program IMPAK lebih berfokus serampang dua mata iaitu membantu mengurangkan pengangguran dalam kalangan belia dan juga melunaskan tanggungjawab sosial Mara kepada masyarakat.
“Hari ini kita menyediakan khidmat membaiki motosikal secara percuma oleh pelajar Pusat Giat Mara selain khidmat gunting rambut percuma oleh usahawan bimbingan Mara, HIT Barber,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian IMPAK Siri Jelajah ke 12, di pekarangan Pejabat Pendidikan Daerah Bachok, dekat sini, hari ini.
Awang Adek berkata, program IMPAK yang menerima kunjungan orang ramai hari ini turut mengadakan khidmat konsultansi serta pendaftaran bagi program keusahawanan dan latihan daripada tokoh usahawan yang berjaya.
Menurutnya, program yang sama turut melengkapkan inisiatif dan khidmat sosial korporat Mara membaik pulih 137 buah rumah penduduk miskin di daerah ini oleh pelajar GiatMara.
Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/video-impak-sasar-25-000-belia-dapat-peluang-kerja-1.620066