Sinku Food Industries perkenal Keropok Segera Ayam

ZALEHA MOHAMAD bersama produk baharunya, Keropok Segera Ayam yang bakal berada di pasaran tempatan menjelang pertengahan tahun ini. – UTUSAN ONLINE/AZLAN BAHRUM

KUALA TERENGGANU 5 Mac – Pengendali outlet Leko-Leko, Sinku Food Industries Sdn. Bhd. yang memasarkan snek keropok lekor segera bakal memperkenalkan produk baharunya, keropok berasaskan isi ayam dalam pasaran tempatan menjelang pertengahan tahun ini.

Pengarah Urusannya, Zaleha Mohamad berkata, snek itu menawarkan kelainan kepada orang ramai dengan menggunakan 100 peratus isi ayam segar serta tidak mengandungi sebarang perisa atau pewarna tiruan.

Katanya, dengan produk baharu itu bagi melebarkan perniagaan syarikat yang sebelum ini hanya tertumpu di sektor makanan dan minuman (F&B) menerusi jualan keropok lekor di 43 outlet yang terdapat di rangkaian pasar raya seluruh Semenanjung.

“Keropok Segera Ayam yang diformulasi oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menerusi kerjasama dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) ini dihasilkan dengan tiga variasi bentuk iaitu bulat, pop corn dan empat segi.

“Ia dijangka dipasarkan di seluruh outlet Leko-Leko dengan harga antara RM2 hingga RM4 bagi saiz balang 40 dan 70 gram,” katanya semasa pelancaran produk itu bersama beberapa produk lain yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Nawi Mohamad, di sini hari ini.

Zaleha merupakan antara 13 usahawan tempatan di bawah program Advanced Technology Entrepreneur Program (Adapt) MARA yang memperkenalkan produk mereka dalam majlis itu.

Menurut Zaleha, pada peringkat permulaan, sebanyak 4,000 pek bersaiz 40 gram akan dikeluarkan setiap hari di kilang syarikat yang terletak di Terengganu Halal Park, Kawasan Perindustrian Cendering di sini.

Di samping itu, pihaknya turut merancang untuk memasarkan snek itu ke sekolah-sekolah kerana ia sesuai untuk dinikmati kanak-kanak berikutan lebih berkhasiat berbanding makanan ringan lain yang dijual.

“Tahun ini fokus kita adalah pada pasaran tempatan sebelum dikembangkan ke negara jiran seperti Singapura memandangkan kita sudah mempunyai saluran untuk memasarkan produk di sana,” katanya.

Sumber:  http://www.utusan.com.my/berita/nasional/sinku-food-industries-perkenal-keropok-segera-ayam-1.621246

This entry was posted in Usahawan. Bookmark the permalink.