INSTITUSI PENDIDIKAN MARA UNGGULI ASIAN YOUTH INNOVATION AWARDS 2018

 


KKTM Sri Gading – Pemenang pingat emas dan Anugerah The Best Awards kategori Asian Youth Innovation Awards (Youth)

Oleh: Ziela Amin
media@mara.gov.my

Kuala Lumpur- Selaras dengan penekanan dalam bidang sains, teknologi, kerohanian, kejuruteraan, kesenian dan matematik (STREAM), Malaysia Association of Research Scientists (MARS) dan PROTEMP Exhibitions and Conferences Sdn. Bhd telah menganjurkan Malaysia Technology Expo (MTE) yang berlangsung dengan jayanya pada 22 hingga 24 Februari 2018 bertempat di Putra World Trade Centre (PWTC). Program yang bertemakan ‘Asia’s Inventions and Innovations Marketplace’ ini disertai oleh 80 buah organisasi tempatan dan sembilan (9) daripadanya adalah penyertaan dari  negara luar.

MTE adalah satu platform untuk mengenengahkan bakat khususnya kepada warga MARA untuk lebih berdaya saing dalam penghasilan produk inovasi yang bermutu dan bermanfaat, seterusnya dapat melahirkan warga MARA berautonomi, pemimpin berkesan, mempunyai nilai keusahawanan dan kebolehpasaran modal insan.

Acara ini terbahagi kepada tiga kategori iaitu kategori Invention and Innovation Awards, Asian Youth Innovation Awards (Youth), dan Asian Youth Innovation Awards (Junior).

Dalam kategori Asian Youth Innovation Awards (Youth), KKTM Sri Gading telah dinobatkan sebagai juara dan memenangi pingat emas sekaligus merangkul Anugerah The Best Awards yang seterusnya membawa pulang sijil penyertaan dan trofi.

“Banyak cabaran yang perlu kami tempuh untuk menghasilkan projek yang terbaik ini termasuk faktor masa dan konsep yang sesuai dengan tema pertandingan. Kami juga berasa bangga kerana projek Interlocking Eco-Brick kami ini berjaya menarik minat para juri,” ujar Zulkefly yang dipersetujui oleh peserta yang lain Nur Fadzreen Md. Awai, Nurul Firzanah Faizal dan Nurul Nadiah Mohammad Adanan’.

Selain itu, UniKL MIIT Kuala Lumpur telah mengungguli kategori Invention and Innovation Awards dengan memenangi pingat emas yang mengenengahkan idea rekaan dan inovasi yang relevan diwakili oleh Prof. Dr. Shamsul Anuar Mokhtar, Siti Mashitah Shamsul Anuar dan Prof. Madya Dr. Ruzainah Ali yang menampilkan  projek Learning Outcome Attainment Measurement.

UniKl MICET Melaka dinobatkan sebagai naib johan dan menerima pingat perak mempamerkan projek Natural Fiber Cement Board dalam kategori Asian Youth Innovation Awards (Youth) yang diwakili oleh lima orang peserta iaitu Mohd Edyazuan Azni, Puteri Nurdiana Asyiqin Ruslan, Muhammad Farhan Mohd Fozi, Muhammad Adhwa’uthaqif Sapuan dan Mohd Izzuddin Taib M. Deros.

Menurut Edyazuan salah seorang peserta berkata, “pertandingan seperti ini bukan sahaja dapat mencungkil kreativiti dan daya imaginasi, malah turut memberi peluang dan ruang kepada para peserta untuk bersaing di persada antarabangsa”.

Manakala pingat gangsa dimenangi oleh KKTM Sri Gading, GIATMARA Nilam Puri dan IKM Lumut. KKTM Sri Gading mempamerkan projek Insulated Eco Wall Panel kategori Asian Youth Innovation Awards (Youth) yang disertai oleh Mohamad Farezuan bin Jailani dan Muhammad Fakru Razi bin Abdul Aziz.

IKM Lumut dengan bangganya mengenengahkan projek SeMTeK (Section Model Of Mechanical Part-Training Kit).  Menurut ketua peserta Idris Ishak, SeMTeK 3D model ini adalah satu kit latihan yang menyediakan model sebenar bukan sekadar lukisan semata. Produk ini menjadikan pembelajaran lebih menarik,berkesan, cepat dan mudah.

“Kami percaya dengan penggunaan kit latihan ini, dapat mengelakkan para pelajar membuat kesilapan yang lebih besar dan ketara,” ulas Tun Mafiza Tun Majid dan Zairul Anuar Zamri gembira.

Manakala GIATMARA Nilam Puri yang mempersembahkan projek Smart Wiring For Motorcycle Learning membuktikan usaha dan penah lelah Tuan Shamsul  Bahri  Tuan Lah, Rosnini Ishak, Khairudin Yusoff dan Ahmad Zairul Hazlie Mohamed berbaloi.

Syabas diucapkan kepada Unit Penyelidikan dan Inovasi sebagai Penyelaras Program kerana telah memenangi tempat ke dua kategori Best Booth Design Bare Space dan tahniah semua peserta dan pemenang Malaysia Technology Expo (MTE) atas kejayaan yang berkonsepkan kreativiti dan inovasi selari dengan komitmen MARA untuk mengangkat idea-idea baharu dalam melaksana dan menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

This entry was posted in Berita Kejayaan, Pendidikan. Bookmark the permalink.