UniKL MSI diiktiraf Lembaga Jurutera Malaysia

GRADUAN UniKL MSI dilengkapkan dengan nilai tambah yang memenuhi kehendak industri.

UNIVERSITI Kuala Lumpur-Malaysian Spanish Institute (UniKL MSI) di Kulim, Kedah kini boleh berbangga apabila program Teknologi Kejuruteraan yang ditawarkan mereka diiktiraf oleh Lembaga Jurutera Malaysia.

Pengiktirafan yang dibuat oleh Majlis Akreditasi Teknologi Kejuruteraan (ETAC) membolehkan graduan UniKL MSI memiliki nilai tambah yang meletakkan mereka pada kedudukan tinggi di mata industri terutama syarikat-syarikat multinasional.

Melalui pengiktirafan itu, UniKL MSI telah memenuhi kehendak industri yang memboleh­kan graduannya diterima be­kerja di mana-mana institusi yang menjadi rakan kongsi lembaga itu.

UniKL MSI kini menjadi institusi rujukan kepada beberapa institusi lain dalam mencari kaedah menjalankan program di universiti atau institusi terutama­nya dalam bidang kejuruteraan teknologi.

Malah, sebagai antara institusi terawal yang mendapat pengiktirafan sebegini, UniKL MSI selangkah ke hadapan dalam melahirkan pelajar golongan profesional terutamanya dalam bidang kejurute­raan teknologi.

Dekan UniKL MSI, Prof. Dr. Abu Talib Othman berkata, untuk mendapat kelulusan tersebut mereka perlu menepati piawaian yang ditetapkan oleh ahli panel akreditasi itu terdiri daripada profesional dan ahli akademik.

Menurutnya, empat kursus iaitu dua di peringkat ijazah sarjana muda dan dua diploma telah dinilai oleh panel ETAC untuk mendapat pengiktirafan ini iaitu Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Kepujian) Pembuatan (Automotif) dan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Kepujian) Mekanikal (Automotif).

Selain itu jelas Abu Talib, turut dinilai adalah Diploma Teknologi Kejuruteraan (Pemasangan dan Penyelenggaraan Elektromekanikal) dan Diploma Teknologi Kejuruteraan (Reka Bentuk dan Pembangunan Mekanikal).

“Akreditasi ini akan berkuat kuasa selama enam tahun dan membolehkan UniKL MSI menjalin kerjasama untuk memasarkan graduan kami dengan syarikat-syarikat multinasional terutama di Taman Teknologi Tinggi Kulim.

“Ia juga adalah nilai tambah kepada graduan kami yang sehingga kini 70 peratus daripada mereka memasuki pasaran kerja dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian,” katanya.

Tambah Abu Talib, terdapat tujuh kriteria pemilihan yang perlu dipatuhi iaitu objektif program pendidikan, dapatan daripada program yang ditawarkan, kurikulum akademik serta pelajar.

Selain itu jelasnya, aspek tenaga pengajar serta staf sokongan di UniKL MSI, kemudahan yang ditawarkan serta sistem kualiti pengurusan turut menjadi kriteria pemilihan.

“Objektif program pendidikan dan dapatan program akan melihat sejauh mana pencapaian graduan memenuhi kehendak sukatan pelajaran serta data soko­ngan yang membantu penca­paian itu.

“Bagi aspek kurikulum akademik pula, penekanan diberi kepa­da keupayaan untuk memenuhi kerangka kelayakan di bawah Ke­­rangka Kelayakan Malaysia (MQF),” ujarnya.

Menyentuh aspek pelajar, Abu Talib berkata, kemahiran berkomunikasi, kepemimpinan, profesio­nalisme, ketrampilan yang menarik serta aktif dalam pelbagai aktiviti kokurikulum di luar kelas membantu untuk membina sahsiah diri mereka.

UniKL MSI turut menyediakan pelbagai platform untuk pelajar mengembangkan bakat dan me­ngenali potensi diri sebagai persediaan memasuki alam pekerjaan.

Dengan kelebihan yang dimiliki itulah jelasnya, menjadikan mereka rebutan dalam pasaran kerja kerana ilmu soft skill yang diperoleh tidak mampu dicapai hanya di dalam kelas.

Tambahnya lagi, tenaga pe­ngajar serta staf sokongan juga penting kerana kompetensi mereka akan membawa UniKL MSI bergerak ke hadapan serta berbeza dengan institusi pendidikan lain.

“Kemudahan yang disediakan di UniKL MSI juga mirip kepada industri serta memenuhi permintaan silibus pelajaran yang mementingkan praktikal berbanding kuliah di dalam kelas sahaja.

“Dengan adanya semua kriteria itu ditambah dengan sistem kualiti pengurusan yang baik, pastinya UniKl MSI adalah sebuah institusi yang terbaik dan menyediakan segalanya untuk pelajar di sini,” katanya.

UniKL MSI menawarkan kursus-kursus kejuruteraan dan tek­nologi dalam pengkhususan bidang mekanikal, pembuatan, mekatronik, elektrik serta automotif di peringkat diploma dan ijazah.

Universiti milik penuh Majlis Amanah Rakyat (Mara) itu juga berkolaborasi dengan kerajaan Sepanyol dalam menyediakan pelbagai kemudahan pembelajaran terkini setanding kemudahan yang digunakan di industri.

Selain pembelajaran yang dijalankan sepenuhnya dalam Bahasa Inggeris, pelajar turut didedahkan dengan pembelajaran bahasa Sepanyol dan Mandarin sebagai persediaan pelajar me­nempatkan diri di persada antara­bangsa.

Sumber:  http://www.utusan.com.my/pendidikan/kampus/unikl-msi-diiktiraf-lembaga-jurutera-malaysia-1.619924

This entry was posted in Berita Kejayaan, Pendidikan. Bookmark the permalink.