MARA Signifikan Bantu Kemajuan Negara

YB Datuk Ir. Dr. Haji Hamim Bin Samuri (tiga dari kanan), Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar menyampaikan bantuan persekolahan kepada salah seorang pelajar berpendapatan rendah semasa merasmikan Ekspo Keusahawanan Ledang 2018 dan Sambutan 52 Tahun MARA Peringkat Negeri Johor.

Tangkak, 3 Mac – Selama lebih lima dekad ditubuhkan, MARA telah memainkan peranan yang penting dalam memacu pertumbuhan kemajuan negara.

Menurut Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Ir. Dr. Haji Hamim Samuri, peranan MARA dalam membangunkan usahawan, pelajar serta profesional yang berjaya secara langsung memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Kesan limpahan ekonomi ini bukan sahaja dalam ruang lingkup Bumiputera yang menerima bantuan daripada MARA malah kepada seluruh rakyat Malaysia amnya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa hadir merasmikan Ekspo Keusahawanan Ledang 2018 dan Sambutan 52 Tahun MARA Peringkat Negeri Johor di Kolej Kemahiran Tinggi MARA Ledang, Serom di sini hari ini.

Hamim menegaskan beliau amat berterima kasih atas inisiatif MARA menempatkan institusi pendidikan di luar bandar seperti Kolej Kemahiran Tinggi MARA Ledang di sini yang membuka ruang penduduk untuk melanjutkan pengajian setempat di samping berpeluang menggunakan kemudahan kelas pertama yang ada.

“Justeru, ekspo yang diadakan yang memberi peluang kepada penduduk setempat hadir ke kolej ini amat bertepatan dalam mengeratkan lagi hubungan agensi ini dengan masyarakat dalam merangka program yang berfaedah pada masa hadapan,” katanya lagi.

Tambahnya lagi, MARA juga terus memainkan peranan penting dalam merancakkan ekonomi Tangkak melalui beberapa projek yang akan dilaksanakan pada masa terdekat.

“Antaranya adalah projek membangunkan semula kilang industri MARA kepada Mini Halal Hub Tangkak yang akan menawarkan 10 lot kilang untuk dimanfaatkan usahawan pengeluar dan pembuatan produk halal daerah ini” ujarnya.

Di majlis yang sama, Hamim turut menyampaikan bantuan persekolahan Yayasan Pelajaran MARA kepada 30 orang pelajar dari keluarga berpendapatan rendah sekitar daerah ini serta sumbangan warga KKTM Ledang kepada Majlis Agama Islam Johor untuk diedarkan kepada asnaf kawasan sekitar.

Turut hadir majlis adalah Pengarah MARA Negeri Johor, Nor Hashimi Mahat dan Pengarah KKTM Ledang, Fazli Rizal Ismail.

This entry was posted in Korporat, Pendidikan, Usahawan. Bookmark the permalink.