Usaha perkasa TVET

MAHDZIR KHALID menyampaikan skim bantuan kepada usahawan sempena program Inisiatif Melestari Pembangunan Komuniti ( 1MPAK) di Dewan Tunku Putra , Kuala Nerang, Padang Terap, Kedah, semalam. – UTUSAN/ISMAIL KAMADIN

PADANG TERAP 27 Feb. – Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) diperkasakan dalam usaha melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran selaras status Malaysia menuju negara maju.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Majlis TVET Kebangsaan melibatkan tujuh kementerian ditubuhkan bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran yang dapat memenuhi keperluan industri.

“Majlis TVET Kebangsaan yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu membabitkan Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kementerian Kerja Raya.

“Maknanya semua kementerian mempunyai institusi sendiri untuk mewujudkan lebih banyak tenaga kerja berkemahiran yang menawarkan pensijilan, diploma mahupun ijazah kepada rakyat negara ini terutamanya golongan muda,” kata­nya selepas melancarkan program Inisiatif Melestari Pembangunan Komuniti (1mpak) di sini hari ini.

Menurut Mahdzir, Malaysia memerlukan tenaga kerja TVET terutama bidang berteknologi tinggi seperti automotif selain memenuhi sektor teknologi hijau, perkhidmatan dan pelancong untuk ke arah negara maju.

Katanya, Kementerian Pendidikan memastikan jurusan TVET yang ditawarkan di Kolej Vokasional kendaliannya memenuhi keperluan industri.

“Sebanyak 75 peratus daripada 15,000 pelajar lulusan diploma dari Kolej Vokasional berjaya mendapat pekerjaan. Kita menawarkan program diploma TVET yang dikehendaki pasaran kerja bagi memastikan graduan Kolej Vokasional mendapat pekerjaan selepas tamat belajar,” katanya.

Sumber:  https://www.utusan.com.my/pendidikan/usaha-perkasa-tvet-1.617906

This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.