Mara Sasar 10 Bengkel Jadi Pusat Servis Tayar

PENDANG, 25 Feb (Bernama) — Majlis Amanah Rakyat (Mara) negeri Kedah menyasarkan 10 usahawan bengkel servis kenderaan untuk dibantu bagi mengembangkan perniagaan mereka di bawah Program Usahawan Teknikal (PUTEK) tahun ini.

Pengarahnya, Ramli Deraman berkata menerusi skim tersebut, sebuah syarikat tayar kenderaan bimbingan Mara akan bekerjasama dengan Mara untuk memberi khidmat nasihat dan bimbingan kepada usahawan yang dikenal pasti bagi mengembangkan perniagaan servis tayar.

Katanya, menerusi skim ini, Mara boleh memberi pinjaman dan modal pusingan sehingga RM200,000 bagi pengusaha bengkel membuka tempat servis tayar kereta di premis tersebut dalam usaha meningkatkan pendapatan usahawan Bumiputera.

“Kenapa pelanggan harus ke pusat servis tayar yang lain sedangkan bengkel kereta itu boleh sediakan perkhidmatan menukar tayar, mengimbang tayar dan servis enjin kenderaan di premis yang sama, sebab itu kita wujudkan program ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Inisiatif Melestari Pembangunan Komuniti (1MPAK) di Kompleks Rakan Sukan di sini, hari ini yang dirasmikan Anggota Parlimen Pendang Datuk Othman Abdul.

Dalam pada itu, Mara menyasarkan jumlah pembiayaan tahun ini melebihi RM30 juta bagi membantu usahawan Bumiputera mengembangkan perniagaan mereka.

“Peruntukan ini kita akan gunakan untuk membantu usahawan kita termasuk yang baru hendak memulakan perniagaan, kerana tahun lepas sahaja (2017) kita bantu lebih 300 usahawan di Kedah membabitkan pembiayaan kira-kira RM35 juta,” katanya.

Mengenai program tersebut, seramai lima usahawan daripada pelbagai bidang di daerah ini menerima pembiayaan perniagaan Skim Bantuan Usahawan (PUTRA) sebanyak RM41,000.

“Kita juga memberi kemudahan kepada golongan belia dan pelajar melihat peluang-peluang yang ada pada program ini selain menawarkan khidmat penukaran minyak enjin motosikal dan gunting rambut secara percuma kepada penduduk setempat oleh para pelajar kelahiran kita sendiri iaitu Giat Mara,” katanya. — BERNAMA

Sumber: http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/ge/newsgeneral.php?id=1439119

This entry was posted in Korporat, Usahawan. Bookmark the permalink.