KKLW latih lebih 17,000 JKKK seluruh negara

Zahid (berdiri, tengah) dan Ismail Sabri bersama peserta selepas merasmikan Program Sijil Tadbir Urus Desa Infra – UniKL, Zon Timur di Bukit Gambang Resort di Kuantan, petang tadi. – Foto Bernama

KUANTAN – Program Sijil Tadbir Urus Desa yang diperkenalkan sejak 2017 kini memasuki fasa ketiga dalam usaha menjadikan pemimpin desa sebagai penggerak pembangunan desa yang berkesan.

Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) melalui Institut Kemajuan Desa (Infra) dengan kerjasama Universiti Kuala Lumpur (UniKL) komited melaksanakan program berkenaan bagi melatih seramai 17,419 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) termasuk Persekutuan (JKKP) dan Orang Asli seluruh negara secara berperingkat.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Program Sijil Tadbir Urus Desa itu bertujuan meningkatkan kewibawaan dan memperkukuhkan keupayaan kepimpinan desa dalam mengurus tadbir kampung dan komuniti.

Beliau berkata, bagi zon Timur khususnya Pahang, pelaksanaan program pertama bagi tahun ini melibatkan 600 peserta dari 10 daerah.

“Pada program ini, lima modul dibangunkan dengan kerjasama UniKL dan Infra iaitu pentadbiran desa, pengurusan kewangan, keusahawanan, pemantauan projek dan tanggungjawab sebagai penolong pendaftar pemilih.

“Modulnya bersifat menyeluruh dan mampu memperkukuhkan keupayaan kepimpinan desa ke tahap profesional dengan pengetahuan dan kemahiran pada aras tinggi,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian program berkenaan di Bukit Gambang di sini, petang tadi.

Majlis dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sumber:  http://www.sinarharian.com.my/nasional/kklw-latih-lebih-17-000-jkkk-seluruh-negara-1.802478

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.