1MPAK pacu kemajuan ekonomi setempat

Zambry Abd Kadir bergambar bersama peserta-peserta Larian dalam program permukiman MB Fit Perak di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Ahmad Said di Manjoi hari ini. – UTUSAN ONLINE/SYEFRY MONIZ

IPOH 24 Feb. – Kerajaan negeri yakin program Inisiatif Melestari Pembangunan Komuniti (1MPAK) bakal meningkatkan pengupayaan rakyat dalam bidang keusahawanan sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi setempat ke tahap terbaik.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata ini kerana pelbagai inisiatif seperti aspek pendidikan dan latihan kemahiran disediakan melalui program itu khusus untuk seseorang individu terbabit mendalami bidang keusahawanan.

Katanya, golongan belia terutamanya perlu merebut peluang tersebut kerana bidang keusahawanan mampu menjana keuntungan lumayan kepada seseorang individu.

“Saya yakin anak-anak muda pada hari ini mempunyai pelbagai kepakaran, kemahiran, idea baharu selain seiring dengan teknologi pada masa kini.

“Oleh itu ambil peluang yang ditawarkan 1MPAK ini untuk mengenali potensi dan minat anda, seterusnya kembangkan kepada idea perniagaan yang mampu menjana pendapatan lumayan,” katanya ketika berucap bersempena Program Fit Perak di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Ahmad Said di sini hari ini.

Program 1MPAK yang dilancarkan pada 27 Jan lalu di Pahang oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meliputi empat teras utama iaitu pendidikan, peluang pekerjaan, keusahawanan dan program tanggungjawab sosial korporat.

1MPAK dilaksanakan bertujuan meningkatkan taraf kehidupan dan pencapaian ekonomi masyarakat luar bandar terutama golongan berpendapatan rendah ke tahap lebih baik.

Dalam perkembangan berkaitan, Zambry berkata 1MPAK yang berada di bawah kelolaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan bekerjasama dengan Pusat Kerjaya Amanjaya (PEKA) bertujuan menyediakan ruang pendidikan dan latihan bagi memudahkan golongan muda menempatkan diri dalam industri pekerjaan.

Katanya, perkara itu wajar diberikan pujian kerana MARA komited dengan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

“Mereka mahu kolaborasi dan bukannya bersaing dengan kita sebab mereka juga tahu kita ada PEKA. Jadi, saya harap kedua-duanya boleh bertindak dalam satu kumpulan selain melakukan tugas sepertimana diarahkan,” katanya. – BERNAMA

Sumber:  https://www.utusan.com.my/berita/wilayah/perak/impak-pacu-kemajuan-ekonomi-setempat-1.615573

This entry was posted in Usahawan. Bookmark the permalink.