Festival Hujung Minggu Kuala Lumpur

Sebahagian daripada pengunjung yang menyertai pertandingan FIFA online games di Festival Hujung Minggu KL.

Oleh Nor Waheeda
media@mara.gov.my

24 Februari – Majlis Amanah Rakyat (MARA) membawakan Festival Hujung Minggu KL yang merupakan inisiatif Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dalam menggalakkan pembudayaan keusahawanan dengan membangunkan nilai keusahawanan di kalangan belia ke arah lebih dinamik dan agresif. Salah satu objektif keusahawanan MARA adalah membuka peluang kepada golongan belia untuk menyertai bidang keusahawanan terutamanya dalam perniagaan seperti lifestyle dan food and beverages.

Festival yang dianjurkan julung kalinya ini berkonsepkan hipster selari dengan peredaran masa yang lebih moden dan kreatif dengan menawarkan pelbagai aktiviti seperti food truck, selain turut mengetengahkan vendor-vendor peniaga belia dalam food and beverages serta fashion and lifestyle dengan menonjolkan konsep berbeza dari kebiasaan yang terdapat di Kuala Lumpur.

Usahawan belia yang menyertai Festival Hujung Minggu KL

Raja Sarimah, Pengarah MARA Wilayah Persekutuan berkata “MARA mengalu-alukan penglibatan golongan belia untuk menceburi bidang keusahawanan dengan penyediaan pelbagai kemudahan selain aktiviti, bimbingan dan pembiayaan”. Selaras dengan saranan tersebut, Festival Hujung Minggu Kuala Lumpur yang bermula pada 24 Februari hingga 25 Februari 2018 dibuka kepada orang ramai terutama para belia untuk turut serta.

Antara acara menarik yang dianjurkan adalah pameran dan jualan produk usahawan di mana sebanyak 25 usahawan belia menyertai festival ini. Pada masa yang sama pameran dan pertandingan vespa tercantik dengan mempertandingkan 11 kategori serta hadiah bernilai RM3,000. Bagi menghangatkan suasana festival, sebanyak lebih 15 kumpulan buskers menyertai pertandingan Battle Of The Buskers, dengan menampilkan juri professional seperi Cat Farish, Andy Flop Poppy dan ramai lagi. Selain itu, pertandingan online games PS4 seperti FIFA, pertandingan Mobile Legend, Business Talk bersama usahawan tempatan dan juga penampilan istimewa artis.

Pemilihan lokasi kali ini di hadapan Menara MARA di mana terletaknya MARA Digital yang merupakan pusat information technology (IT) yang menjadi tumpuan utama hujung minggu bagi orang awam khususnya bagi mereka yang menggunakan laluan utama ke Jalan Tuanku Abdul Rahman dan kawasan sekitarnya. MARA amat berterima kasih kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Ibu Pejabat Daerah Polis Dang Wangi dengan kolaborasi ini serta berharap kerjasama yang dijalinkan dapat menyumbang kepada komuniti.

Festival Hujung Minggu KL ini merupakan acara yang melibatkan generasi muda untuk menginspirasikan mereka agar aktif dan menyumbang semula kepada komuniti melalui keusahawanan, kesukanan dan hiburan. Secara tidak langsung, aktiviti-aktiviti yang dianjurkan ini dapat membuka peluang kepada golongan belia untuk mewujudkan kolaborasi yang erat bersama pihak penganjur khususnya MARA. Malah, melalui karnival ini, MARA dapat memperkasakan lagi sistem penyampaian melalui interaksi secara terus bersama pelanggan dan orang awam.

This entry was posted in Usahawan. Bookmark the permalink.