AMAN – PELAJAR TERBAIK FIZIK PERINGKAT A-LEVEL JERMAN DI GMI

Muhammad Aman Ahmad Tifli (tengah) bergambar bersama kedua ibu bapanya semasa Majlis Graduasi Pelajar A-Level Jerman di GMI

23 Februari 2018, Kajang – Kalau anak muda lain sibuk dengan Instastory, OOTD, panama dance dan juga viral gadis cendol, lain sekali dengan Muhammad Aman bin Ahmad Tifli. Pemuda berusia 20 tahun ini sibuk mempersiapkan bagasinya untuk terbang ke Jerman bulan depan. Beliau baru sahaja diumumkan sebagai pelajar terbaik keseluruhan bagi subjek Fizik peringkat peperiksaan As (GCE A-Level kerjasama UCLES United Kingdom) di majlis graduasi pelajar Program Persediaan A-Level Jerman di German-Malaysian Institute (GMI) di Dewan Gemilang Mercu Idaman di kampusnya di Kajang Selangor. Aman mencapai markah tertinggi dan pelajar terbaik bagi subjek Fizik dari seramai 101 orang pelajar Persediaan A-Level Jerman bagi kumpulan 2016.

Kata Aman, “Tak ada rahsia khusus, hanya saya banyakkan ulangkaji soalan-soalan tahun lepas”. Ujarnya lagi untuk seseorang mahir dalam subjek Fizik. Mengekalkan momentum pembelajaran sangat penting dan beliau nasihatkan jangan hanya belajar di saat-saat akhir menjelang peperiksaan. Untuk kemahiran berbahasa Jerman pula, Aman hanya banyakkan menonton filem-filem Jerman dan sebanyak boleh mempraktikkannya dengan berkomunikasi dengan rakan-rakan dan juga pelajar praktikal dari Jerman yang berada di GMI. Bahkan katanya, semasa dipilih mengikuti program persediaan A Level ke Jerman di GMI, beliau tiada langsung pendedahan kepada Bahasa Jerman dan mula mempelajarinya di kampus GMi sahaja.

Anak kedua dari tiga adik-beradik ini ialah bekas pelajar SMK Seksyen 7 Shah Alam,  Selangor  ditawarkan Skim Pelajar Cemerlang MARA untuk program Persediaan A-Level Jerman di GMI selepas menerima keputusan cemerlang SPMnya.  Selama 22 bulan di GMI, Aman akan menyambung perjuangan ilmunya di Weilheim Jerman awal bulan Mac 2018 ini. Minatnya ialah ingin melanjutkan pengajian dalam Kejuruteraan Komputer di Universiti of Applied Sciences Jerman pada musim dingin 2018 ini iaitu sebaik melengkapi program insentif enam (6) bulan bahasa Jerman dan menduduki peperiksaan Bahasa Jerman, TesDAF.

Aman sempat menceritakan kenangan manis di GMI iaitu penglibatan aktifnya dalam  pertandingan pidato dan mewakili GMI di Tenby Kuala Lumpur untuk Persidangan Model UN (United Nations Security Council) 2017 dan di Taylors College Seri Hartamas untuk Persidangan Model UN (United Nations International Strategy  for Disaster Reduction) memenangi kategori delegasi terbaik 2017. Aman juga aktif dalam sukan Frisbee dan memanah.

Satu perkara yang sinonim apabila menemubual pelajar cemerlang ialah tidak lekang dari bibir mereka ucapan terima kasih dan penghargaan kepada ibu bapa mereka. Ini juga yang diucapkan  Aman. Beliau sangat berterima kasih dan menghargai setiap pengorbanan yang dilakukan oleh ayahnya, Encik Ahmad Tifli Talha dan ibunya, Puan Noraniza binti Abdul Latif  untuk melihat dirinya cemerlang.

Tahniah Aman dan moga Malaysia melahirkan lebih ramai pemuda bersahsiah tinggi seperti Aman.

This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.