[VIDEO] Nasi dan teh RM2 untuk pelajar KPTM

Sebahagian pelajar Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Kota Bharu sedang menikmati hidangan nasi dan air RM2 di MPA Cafe di Kota Bharu hari ini.

KOTA BHARU 22 Feb. – Hidangan nasi yang boleh ditambah tanpa had, ketulan ayam goreng dan kuah gulai yang lazat diiringi minuman teh ‘o’ ais, semuanya dengan harga RM 2 sahaja!

Video oleh ASMA HANIM MAHMOOD

Percaya atau tidak itulah yang dinikmati pelajar Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Kota Bharu apabila pihak kolej berkenaan membuka MPA Cafe bermula awal tahun ini.

Selain nasi ala ‘kak wok’, hidangan nasi lemak lengkap berserta teh ‘o’ ais turut dijual dengan harga sama kepada para pelajar manakala 20 pelajar daripada kalangan kurang berkemampuan pula tidak perlu membayar sesen pun.

Penyelia MPA Cafe yang juga warden asrama kolej, Hamsia Kamaruddin berkata, pihaknya mengambil inisiatif membuka kafe dengan tema ‘Dari Kami Untuk Kami’ tersebut setelah menyedari ramai pelajar sebenarnya tertekan dengan kos hidup yang semakin tinggi.

“Kami pernah menghantar pelajar ke hospital yang rupa-rupanya sakit kerana tidak makan.

“Nama ‘MPA Cafe’ sebenarnya ringkasan daripada Majlis Perwakilan Asrama yang merupakan tulang belakang operasi kafe.

“Kami manfaatkan tempoh pelajar bercuti semester hujung tahun lalu untuk mengubahsuai kafe lama selepas menamatkan perkhidmatan pengusaha luar,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Hamsia berkata, mereka menggunakan modal permulaan kira-kira RM3,000 yang dihimpun daripada duit tabungan asrama, pengurusan kolej, derma para pensyarah dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Jelasnya, setakat ini jualan yang dicatatkan adalah antara RM500 sehingga RM600 sehari.

Sumber:  http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/video-nasi-dan-teh-rm2-untuk-pelajar-kptm-1.614202

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.