1MPAK PD sasar 25,000 peluang kerja

Mimi Mazlin (depan, kiri) sempat beramah mesra dengan beberapa usahawan yang dibangunkan Mara.

SEREMBAN – Program Inisiatif Melestari Pembangunan Komuniti (1MPAK) menyasarkan sebanyak 25,000 peluang pekerjaan dalam tempoh setahun.

Berikutan itu, kira-kira 10,000 peluang pekerjaan ditawarkan kepada belia pada program 1MPAK yang bakal berlangsung di Politeknik Port Dickson, Telok Kemang, Ahad ini.

Pengarah Mara Negeri Sembilan, Mimi Mazlin Mohamad Yusof berkata, lebih kurang 28 syarikat tempatan dan luar negeri antaranya JobsMalaysia akan terlibat sebagai pempamer pada hari berkenaan.

“Pada masa sama, kita menjemput usahawan yang dibangunkan oleh Mara untuk mempromosikan produk masing-masing. Jadi, mereka akan turut menyediakan peluang pekerjaan.

“Selain menguar-uarkan kemudahan Mara dalam bidang pendidikan dan keusahawanan, 1MPAK Port Dickson bermatlamat memajukan ekonomi komuniti luar bandar.

“Caranya dengan menjadikan graduan yang berpotensi untuk mewujudkan sendiri ekosistem keusahawanan dan menjana pendapatan bagi masyarakat setempat,” katanya pada sidang media, kelmarin.

Katanya, beberapa institusi pendidikan di bawah kendalian Mara bakal diketengahkan pada 1MPAK Port Dickson.

“Antaranya GiatMara, KKTM (Kolej Kemahiran Tinggi Mara) Rembau, UniKL (Universiti Kuala Lumpur) dan GMI (German-Malaysian Institute).

“Tujuannya untuk berkongsi dengan masyarakat luar bandar khususnya, membabitkan latihan ditawarkan.

“Lebih menarik, GMI menawarkan diskaun sebanyak 50 peratus bagi yuran pendaftaran,” katanya.

Menurut Mimi Mazlin, pihaknya akan turut membuka satu kaunter khas bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menyemak status senarai hitam Mara.

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/1mpak-pd-sasar-25-000-peluang-kerja-1.801083

This entry was posted in Pendidikan, Usahawan. Bookmark the permalink.