Kerjasama UMP-JPV keluarkan gelatin halal

NAIB Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), Datuk Seri Ts Dr Daing Nasir Ibrahim (dua dari kiri) bersalaman dengan Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar. Datuk Quaza Nizamuddin Hassan Nizam (dua dari kanan) pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar di Universiti Malaysia Pahang (UMP), Pekan. Turut bersama Timbalan Naib Canselor ( Akedemik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Pahang (UMP), Datuk Ts Dr Rosli Mohd Yunus (tiga dari kiri) dan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Pahang (UMP), Datuk Seri Ibrahim Ahmad (empat dari kiri) – Foto Muhd Asraf sawal

PEKAN: Malaysia dijangka dapat mengeluarkan gelatin halalnya sendiri apabila Pusat Inkubator Pengeluaran Gelatin Halal di Universiti Malaysia Pahang (UMP) bakal beroperasi sepenuhnya tahun depan.

Pusat berkenaan yang dibina di atas tanah berkeluasan 1.8 hektar di Industrial Technology Engineering Creativity Space (ITECS) itu membabitkan kos RM20 juta.

Naib Canselor UMP, Datuk Seri Prof Dr Daing Nasir Ibrahim, berkata pembinaan pusat itu mendapat kerjasama Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan beberapa agensi kerajaan bagi membangunkan industri gelatin halal di negara ini.

Katanya, apabila siap kelak, pusat itu mampu mengeluarkan kira-kira 360 tan gelatin setahun, sekali gus menyumbang sekurang-kurangnya 0.08 peratus pasaran gelatin dunia.

“Setakat ini, pusat berkenaan sudah 26 peratus siap merangkumi penyediaan premis, infrastruktur, kelengkapan loji dan pembentukan rantaian bekalan halal berkaitan.

“Memandangkan pengeluaran gelatin bergantung kepada sumber haiwan, UMP memerlukan bantuan kepakaran dan khidmat nasihat daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) bagi memastikan ia mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, selain integriti produk yang tinggi,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara pihaknya dan Ketua Pengarah JPV, Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMP, Datuk Prof Dr Mashitah Mohd Yusoff dan Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Inovasi JPV, Dr P Chandrawathani.

Daing Nasir berkata, pihaknya turut menjalin kerjasama dengan agensi lain seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kementerian Luar Bandar dan Wilayah serta Unit Perancang Ekonomi (EPU).

Katanya, beberapa siri perbincangan dan rundingan dilakukan sebelum ini bersama agnsi berkenaan berjaya menghasilkan permuafakatan termasuk menubuhkan kumpulan kerja bersama yang mempunyai fungsi pemantauan dan penasihatan terhadap rangka kerja dikenal pasti.

Sementara itu, Quaza Nizamuddin berkata, gelatin digunakan secara meluas terutama dalam bidang farmaseutikal, makanan dan kosmetik, namun kebanyakannya dihasilkan daripada sumber tidak halal.

Katanya, penghasilan gelatin halal mempunyai banyak kekangan terutama dari segi sumber bahan mentah dan ketika ini Malaysia mengimport gelatin halal dari Pakistan serta Bangladesh.

“Untuk menghasilkan gelatin, kita memerlukan bilangan lembu agak banyak untuk mendapatkan bekalan tulang dan kulitnya, namun kita kekurangan lembu hingga terpaksa mengimport dari luar.

“Justeru, pembinaan pusat ini bukan saja dapat menghasilkan gelatin yang tidak diragui status halalnya, malah dapat mengembangkan lagi industri penternakan lembu pada masa depan,” katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/02/390674/kerjasama-ump-jpv-keluarkan-gelatin-halal

This entry was posted in Korporat, Pelaburan. Bookmark the permalink.