Generasi Al-Quran: MRSM Ulul Albab

Generasi ulul-albab yang mampu mengimbangi sains, falsafah dan teknologi bercirikan quranik, ensiklopedik dan ijtihadik yang berteraskan al-quran bagi menghadapi cabaran globalisasi dan mencapai kegemilangan ketamadunan ummah.

Oleh : Lina Mastura
media@mara.gov.my

Program Ulul Albab merupakan satu inovasi dalam sistem pendidikan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang diwujudkan untuk melahirkan pelajar cemerlang dalam bidang akademik dan pada masa yang sama mampu menghafaz serta berkeupayaan mentafsir al-Quran dengan baik. Program ini merupakan program pendidikan integrasi antara program pendidikan sedia ada (Sains Tulen) dengan program aliran agama termasuk Tahfiz al-Quran.

Sehingga hari ini, MARA telah berjaya melahirkan 1,464 orang hufaz melalui program Ulul Albab. Lebih membanggakan, MARA juga telah mengeluarkan Sijil Tahfiz MARA kepada pelajar yang berjaya menghafal al-Quran sebanyak 30 juzuk ini. Program Ulul Albab ini telah dijalankan di empat (4) buah MRSM iaitu MRSM Gemencheh, MRSM Sungai Besar, MRSM Kepala Batas dan MRSM Kota Putra.

Program ini mempunyai keunikannya dalam melahirkan pelajar yang bercirikan Quranik iaitu memahami al-Quran dan menghayatinya, ciri Ensiklopedik iaitu mereka yang berpengetahuan luas dalam pelbagai bidang serta ciri Ijtihadik iaitu mereka yang mampu mengeluarkan pandangan bagi penyelesaian permasalahan masa kini. Program ini bermatlamat untuk melahirkan ahli profesional, teknokrat dan usahawan yang bukan sahaja berilmu pengetahuan tetapi mempunyai kemahiran dalam bidang keagamaan berlandaskan al-Quran dan alSunnah sebagai generasi Ulul Albab.

Usaha MARA dalam memperkasakan program ini bukan sekadar untuk melahirkan modal insan yang berilmu dan bersahsiah tinggi tetapi turut mampu melahirkan generasi al-Quran yang beriman, berilmu, berketerampilan serta bertanggungjawab. Nilai-nilai ini mampu menunjangi masa lebih gemilang untuk negara kita.

Program Ulul Albab di MRSM juga dirangka bukan untuk melahirkan ulama’ semata-mata, tetapi sebaliknya melahirkan ilmuan Islam yang mempunyai pelbagai kepakaran, nilai kepimpinan serta keupayaan ilmu dalam pelbagai lapangan atau bidang serta mampu muncul sebagai usahawan yang berjaya melalui kemahiran yang dimiliki.

Para huffaz ini akan menjadi tunjang kepada pengajian dalam bidang kritikal yang diperlukan oleh negara. Melalui program Ulul Albab ini, MARA komited untuk memperkasakan sistem ilmu dan pendidikan ke arah memartabatkan insan demi kecemerlangan agama, bangsa dan negara. Secara tidak langsung, model pembangunan negara dan kepimpinan negara pada masa akan datang juga akan terarah kepada model yang berteraskan ilmu al-Quran dan Hadith.

 

This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.