Bantu usahawan tempatan

Antara perkhidmatan yang ditawarkan di RTC Serting Ilir.

PUSAT Transformasi Luar Bandar Mini (RTC Mini) Serting Ilir bukan sahaja memberi fokus kepada usahawan baharu dan sedia ada, sebaliknya ambil kira aktiviti untuk golongan muda dan dewasa secara harian.

Pengurus RTC Mini Serting Ilir, Nurulazma Shafiqah Khairul Azhar berkata, antara aktiviti dirancang ialah kelas komputer dewasa, pemantapan tulisan jawi, kelas asas bola jaring, zumba dan kelas asas komputer tabika.

“Usaha ini sebagai pembangunan sosio budaya dan sukan untuk komuniti setempat. Walaupun RTC Mini berada di Kampung Serting Ilir tetapi peranan RTC Mini dan kemudahan sedia ada boleh dimanfaatkan oleh seluruh masyarakat di Jempol.

“RTC Mini juga bukan sebuah agensi yang ingin meraih keuntungan, tetapi ia adalah pusat satu hentian pelbagai perkhidmatan yang menjadi jambatan kepada agensi-agensi untuk menyampaikan apa sahaja maklumat kepada masyarakat.

“Kita menganjurkan program-program untuk memastikan pembangunan di luar bandar berlaku sejajar dengan slogan Kementerian Kemajuan Luar Bandar (KKLW) iaitu Membandarkan Luar Bandar,” katanya ketika ditemui, semalam.

Seramai 15 usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dari seluruh daerah ini dikenal pasti mendapat manfaat sewajarnya daripada perlaksanaan program usahawan di RTC Mini Serting Ilir mulai tahun lalu.

Katanya, kejayaan itu adalah hasil daripada hubungan strategik melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bersama pelbagai agensi antaranya, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Giatmara dan Agrobank.

Sementara itu, pengusaha madu kelulut dan produk hiliran, Mohd Faqih Zainuddin Mohd Saipudin, 24, berkata, dia mendapat geran In Kind Contribution (IKC) pada Januari lalu setelah mengikuti kursus di Mini RTC .

“Selepas menyertai program usahawan bimbingan RTC Mini, produk saya mula mendapat tempat dan semakin dikenali,” katanya.

Manakala, pengusaha kedai jahit, Noorjasniza Mohd Jais, 26, berkata, sejak menyertai RTC Mini dia telah banyak memperoleh peluang dan ilmu berkaitan keusahawanan.

“Saya juga tidak sangka akan terima sebuah motosikal dan peralatan jahitan melalui program Mobilepreneur di bawah KKLW,” katanya.

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/bantu-usahawan-tempatan-1.800125

This entry was posted in Usahawan. Bookmark the permalink.