1MPAK platform graduan cari peluang perniagaan

SUNGAI PETANI 17 Feb. – Graduan yang berminat menjadi usahawan kini boleh mencari peluang perniagaan bersesuaian menerusi program Inisia­tif Melestari Pembangunan Komuniti (1MPAK).

Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) Majlis Amanah Rakyat (Mara), Zulfikri Osman (gambar) berkata, ini kerana maklumat tentang cara memulakan per­niagaan selain pembiayaan keusahawanan disediakan dalam siri je­lajah program itu ke 27 daerah terpilih di seluruh negara.

“Program ini antara lain adalah untuk membuka peluang pekerjaan. Bila bercakap tentang pekerjaan ini ada yang hendak bekerja dengan orang iaitu di sya­rikat ma­hupun (bekerja dengan) keraja­an, tetapi ada juga hendak be­kerja sendiri iaitu semestinya ke­usahawanan.

“Jadi, daripada program ini ada gerai tertentu yang boleh beri maklumat kepada mereka dari segi macam mana hendak memulakan perniagaan, dapatkan latihan, bagaimana Mara dan agensi kerajaan lain yang boleh membantu, dengan siapa boleh berkolaborasi untuk membesarkan perniagaan,” kata­nya.

Zulfikri berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian 1MPAK di Maktab Rendah Sains Mara Merbok dekat sini yang disempurna­kan Ahli Parlimen Mer­bok, Prof. Dr. Isma­il Daut.

1MPAK dilancarkan Menteri Kemaju­an Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob pada 27 Januari lepas dan ia merupakan satu inisiatif KKLW yang diterajui Mara dengan matlamat untuk mencapai mobiliti sosial dan ekonomi terutamanya kepada kumpulan sasar iaitu isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40).

Bagi fasa pertama pelaksanaan 1MPAK, siri jelajah ke daerah terpilih akan dilakukan ke seluruh negara dalam usaha menyebarkan maklumat tentang program itu khususnya kepada komuniti setempat selain menguar-uarkan inisiatif lain ditawarkan kementerian itu dan Mara serta agensi lain di bawah kementerian tersebut.

Zulfikri berkata, Mara sebagai agensi di bawah KKLW yang antara lain berperanan untuk pembangunan keusahawanan di negara ini menyediakan ekosistem lengkap membantu individu yang terlibat dalam keusahawanan.

“Ekosistem lengkap ini maksudnya pembangunan modal insan seperti latihan, pemba­ngunan perniagaan dan sokongan kemudahan lain seperti bagi pinjaman, premis perniagaan dan sebagainya. Jadi, melalui program 1MPAK ini kami bawa semua ini yang ditawarkan Mara sebagai agensi kerajaan di bawah KKLW iaitu inisiatif daripada kerajaan untuk membantu rakyat,” kata­nya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sejumlah 1,084 lepasan institusi pengajian tinggi telah mendaftar dengan Mara menyertai program perantisan Graduate Employability Training Scheme (GETS) yang dilaksanakan di bawah 1MPAK se­takat ini.

Katanya, profil mereka akan di­padankan dengan jawatan dan peluang pekerjaan ditawarkan pemain industri terlibat iaitu terdapat 70 syarikat yang berkola­borasi dengan agensi berkenaan dalam usaha membantu membuka peluang pekerjaan kepada golongan itu. – BERNAMA

Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/1mpak-platform-graduan-cari-peluang-perniagaan-1.611420

 

 

This entry was posted in Usahawan. Bookmark the permalink.