JASIN – Seorang pelajar Institut Kemahiran Mara (IKM) Jasin di sini maut selepas motosikal ditunggang dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Naza Citra malam kelmarin.
Kejadian pada pukul 8.30 malam di Kilometer 10 Batang Melaka-Selandar itu mengorbankan Muhammad Nor Aidil Rosli, 19, yang meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC dalam perjalanan dari arah Selandar ke Batang Melaka.
“Setibanya di tempat kejadian, sebuah MPV jenis Naza Citra dari arah bertentangan hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh mangsa.
“Ekoran pelanggaran itu, mangsa yang berasal dari Simpang Pertang, Negeri Sembilan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Arshad berkata, mayat remaja itu dihantar ke Hospital Jasin di sini untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE
Sumber: http://www.kosmo.com.my/terkini/penuntut-ikm-jasin-maut-dirempuh-mpv-1.608551