MRSM MEMPERKAYA KELAHIRAN MODAL INSAN HOLISTIK NEGARA

Oleh: Lina Mastura
media@mara.gov.my

Pembangunan modal insan menjadi asas utama yang menunjangi kejayaan, kemakmuran malah kekayaan negara-negara maju. Pembangunan modal insan juga merupakan teras dan fokus utama dalam usaha kita membangunkan negara bangsa yang maju dan makmur. Kelahiran MARA pada 1 Mac 1966 yang lahir dari inovasi pemimpin terdahulu adalah bertetapan dalam mencapai aspirasi ini dengan mendukung dan menggalas tanggung jawab kepada pembangunan modal insan negara.

MARA berjaya membentuk Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) sebagai institusi pendidikan menengah yang mampu memenuhi aspirasi tersebut. Pada hari ini, nama MRSM sebagai legasi pendidikan terulung dalam negara sudah tidak dapat disangkal lagi. MRSM merupakan laluan pendidikan terunggul dalam negara yang menyediakan peluang pendidikan yang berkualiti berteraskan pembangunan sains dan teknologi bagi melahirkan generasi saintis, usahawan, pereka cipta dan teknorat yang bersahsiah mulia.

MARA sentiasa terkehadapan dalam memastikan sistem pendidikannya terus releven terutama dalam memenuhi keperluan pendidikan abad ke-21. Sistem pembelajaran dan pengajaran serta penilaian kecemerlangan di MRSM yang bersifat holistik terbukti berjaya dalam pembangunan sahsiah pelajar meliputi aspek bakat, kepimpinan, kemahiran insaniah dan keutuhan diri.

Ini juga jelas menunjukkan keberhasilan program-program yang terangkum dalam strategi MRSM untuk melahirkan modal insan Bumiputera berprestasi tinggi dalam bidang sains dan teknologi. Kesungguhan ini dapat dilihat melalui keterbezaan pembelajaran di MRSM dengan berteraskan Science, Technology, Religion, Engineering, Art and Mathematics (STREAM) yang dijalankan di 54 MRSM seluruh negara. Bahkan MARA juga proaktif merealisasikan kelahiran modal insan cemerlang negara apabila beberapa program khas turut ditambah ke dalam Sistem Pendidikan Maktab Rendah Sains MARA (SPMRSM) seperti penawaran dwisijil seperti International General Certificate for Secondary Education (IGCSE), MRSM Ulul Albab dan juga MRSM Teknikal.

Sehingga kini, hampir 178,000 orang pelajar berteraskan sains dan matematik telah dilahirkan oleh institusi pendidikan kebanggaan Bumiputera ini. MRSM juga telah terbukti cemerlang dalam menyumbang kepada kewujudan teknokrat dan pemimpin korporat negara. Kejayaan ini boleh dibuktikan apabila ramai dalam kalangan pemimpin kerajaan, korporat mahu pun usahawan berjaya lahir daripada sistem pendidikan MARA ini. Ini jelas membuktikan bahawa institusi pendidikan menengah ini telah menjadi wadah terbaik MARA dalam memperkayakan kelahiran modal insan negara.

 

This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.