
ISMAIL Sabri menyampaikan sijil kepada penerima pada Majlis Perkhidmatan Cemerlang 2017 KKLW hari ini. – Foto Edmund Samunting
KOTA KINABALU: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) mahu semua jabatan dan agensi di bawah kementerian itu sentiasa turun padang bagi memberi khidmat terbaik kepada rakyat.
Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ini kerana Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) adalah agensi di barisan hadapan kementerian yang dekat dengan rakyat.
Katanya, sebagai barisan hadapan kerajaan, agensi terbabit perlu bekerja keras terutama menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) bagi memastikan kerajaan Barisan Nasional (BN) terus kekal mentadbir negara ini.
“Saya meminta kepada pihak KEMAS agar buat kerja mulai sekarang, turun padang, berjumpa rakyat dan membuat kajian sikap dengan sebaiknya.
“PRU14 kali ini amat penting dan jika kuasa terlepas kepada pihak sebelah sana (pembangkang), yang menderita adalah rakyat.
“Bukan saja KEMAS, malah RISDA dan MARA yang kerap berjumpa rakyat perlu bekerja keras kerana tanggungjawab kita besar untuk memastikan kerajaan BN dikekalkan,” katanya sempena Majlis Perkhidmatan Cemerlang KKLW 2017 (Zon Sabah) di sini, hari ini.
Yang turut hadir ialah Ketua Setiausaha KKLW, Datuk Borhan Dolah.

ISMAIL Sabri bergambar bersama penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) pada Majlis Perkhidmatan Cemerlang 2017 KKLW hari ini. – Foto BERNAMA
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, kerajaan hari ini perlu dipertahankan kerana ia mempertahankan hak Bumiputera, termasuk membawa lebih banyak pembangunan ke negeri ini.
“Datuk Seri Najib Razak selepas menjadi Perdana Menteri, kerap kali datang ke Sabah berbanding Tun Mahathir Mohamad (bekas Perdana Menteri). Jika pembangkang kata kerajaan Persekutuan tidak pedulikan rakyat Sabah, itu semua bohong kerana kerajaan menerusi KKLW membawa peruntukan pembangunan besar ke negeri ini.
“Kira-kira 24 peratus atau hampir RM1 bilion daripada RM3.8 bilion peruntukan pembangunan KKLW diberikan kepada Sabah pada tahun ini, ini bukti kita menjaga kebajikan rakyat di negeri ini,” katanya sambil yakin Sabah kekal menjadi milik BN.
Terdahulu, seramai 229 penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2017 bagi Zon Sabah membabitkan kakitangan KKLW, KEMAS, MARA dan RISDA.

ISMAIL Sabri mencuba tarian tradisional suku kaum Murut iaitu “magonatip” pada Majlis Perkhidmatan Cemerlang 2017 Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) hari ini.- Foto BERNAMA
Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/02/388109/kklw-mahu-agensinya-sentiasa-turun-padang