Abby Zain buka Pameran Lukisan@Premiera

Sebahagian daripada barisan pelukis yang menyertai Pameran Lukisan@Premiera bergambar bersama Pengerusi MARA, Datuk Dr. Awang Adek Hussin usai majlis perasmian Pameran Lukisan @Premiera Kuala Lumpur, hari ini. – UTUSAN ONLINE

KUALA LUMPUR 13 Feb. – Buat julung kalinya Hotel Premiera mengadakan siri pameran lukisan sebagai platform kepada para pelukis tanah air untuk mempamerkan hasil karya mereka.

Bermula semalam, siri pertama Pameran Lukisan@Premiera dibuka oleh pelukis wanita, Arbaiyah Zain atau lebih dikenali dengan nama Abby Zain.

Hari ini, siri Pameran Lukisan@Premiera dirasmikan oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Awang Adek Hussin.

Selain Abby terdapat sembilan lagi nama pelukis yang diberikan ruang untuk melengkapkan siri pameran lukisan yang dijangka berlarutan sehingga akhir tahun ini.

Pengurus Besar Hotel Premiera, Kamarudin Kassim ketika ditemui usai majlis perasmian di sini, hari ini berkata, usaha mengadakan pameran lukisan ini adalah untuk membantu mencungkil bakat-bakat baharu yang berpotensi sebagai pelukis tanah air.

Selain daripada itu, kolaborasi di antara pihak pengurusan hotel dan MAC Training Centre Sdn. Bhd. menyediakan platform untuk mempamerkan hasil karya para pelukis lama juga sebagai usaha mengangkat budaya Melayu dan alam semula jadi sebagai tema lukisan.

“Idea untuk mengadakan siri pameran lukisan ini tercetus apabila terdapat ruang-ruang kosong di dinding Coffee House dan Kafe Hotel Premiera.

“Jadi pihak pengurusan hotel terpanggil untuk menyumbang kepada masyarakat dan penggiat seni lukis dengan mengisi ruang dinding di lokasi yang disebutkan melalui lukisan-lukisan para pelukis lama dan baharu,” katanya.

Kamarudin berkata, dengan kehadiran 200 orang pengunjung ke Coffee House untuk makan tengah hari mahupun minum petang, sekurang-kurangnya sambil menikmati makanan, santapan mata juga tertumpu pada dinding yang dijadikan ruang pameran.

Sepanjang siri pameran lukisan ini berlangsung, pengunjung juga boleh membeli lukisan-lukisan yang dipamerkan termasuk hasil karya Ibnoo Jalil, Fauziah Yahya, Azhar Arshad, Mohamad Musawwaf, Sufian Kaligraf1Malaysia, Lan Itam, Faizal Samat, AgroGigit Mail Itam dan Hudry Hayat. – UTUSAN ONLINE

Sumber : http://m.utusan.com.my/berita/nasional/video-abby-zain-buka-pameran-lukisan-premiera-1.608619

This entry was posted in Korporat, Usahawan. Bookmark the permalink.