1,000 belia peroleh manfaat Program Mobilepreneur@KKLW

Ismail Sabri (empat dari kanan) bergambar kenangan dengan sebahagian daripada peserta Mobilepreneur@KKLW di Kota Kinabalu hari ini.

KOTA KINABALU – Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi melaksanakan Program Usahawan Bergerak (Mobilepreneur@KKLW) yang membuka peluang pekerjaan kepada golongan belia tempatan pada tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu sebanyak 1,000 usahawan bakal dilahirkan khususnya yang tinggal di kawasan luar bandar.

“Dengan adanya program ini, secara tidak langsung ia membantu golongan belia lepasan Giat Mara yang memiliki kemahiran menjalankan perniagaan melalui perkhidmatan tanpa memerlukan modal besar.

“Sejak pihak kerajaan melancarkan program tranformasi luar bandar kita berjaya melahirkan seramai 500 usahawan bergerak,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Mobilepreneur@KKLW Peringkat Negeri Sabah di sini.

Turut hadir ialah Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Yahya Hussin.

Sementara itu, Musa memberitahu, sebanyak 291 usahawan Mobilepreneur@KKLW Sabah akan menerima motosikal yang mana 155 buah sumbangan daripada Giat Mara manakala 136 pula sumbangan Felcra Training & Consultancy Sdn. Bhd. (FTC).

“Sehubungan itu, pada hari ini seramai 136 belia menerima motosikal untuk kegunaan perniagaan masing-masing dan bakinya akan diserahkan dalam tempoh terdekat,” jelasnya.

Sumber: http://www.kosmo.com.my/terkini/1-000-belia-peroleh-manfaat-program-mobilepreneur-kklw-1.608630

Advertisements
This entry was posted in Usahawan. Bookmark the permalink.