Seminar Star Camp 2018 tarik penyertaan 550 warga Sabak Bernam

SEBAHAGIAN daripada masyarakat tempatan yang menyertai Seminar Transformasi Nasional (Star Camp) 2018 di Dewan Sekolah Agama Menengah Muhammadiah, Sabak Bernam, hari ini. – UTUSAN ONLINE/MOHD. HUSSAIRY SIDEK

SABAK BERNAM 11 Feb. – Seminar Transformasi Nasional (Star Camp) 2018 yang berlangsung di Dewan Sekolah Agama Menengah Muhammadiah di sini berjaya menarik 550 penyertaan masyarakat tempatan sekaligus menunjukkan minat mereka dalam usaha memperkasakan taraf sosioekonomi masing-masing.

Seminar sehari itu merupakan anjuran bersama di antara Persatuan Alumni Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi Mara (PIMPIN), Pertubuhan Alumni Penggerak Mahasiswa Universiti Malaya (PAPMUM) dan Koperasi Profesional Putrajaya Berhad (KOPROJAYA).

Menurut Presiden PIMPIN, Saiful Azhar Shaharun, seminar itu memberi pendedahan kepada masyarakat tempatan mengenai peluang-peluang yang disediakan oleh jabatan dan agensi kerajaan yang boleh dimanfaatkan oleh mereka.

“Ini kerana, kita dapati masih ada rakyat tidak mengetahui peluang-peluang serta insentif yang diwujudkan oleh kerajaan yang sebenarnya mampu memberi kesan positif kepada peningkatan taraf sosioekonomi mereka.

“Justeru, dengan seminar yang diadakan ini, ia sedikit sebanyak memberikan pencerahan kepada mereka mengenai peluang-peluang yang ada itu,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Tambah Saiful Azhar, antara kementerian, agensi dan jabatan kerajaan yang terlibat dalam seminar itu ialah Kementerian Pertanian, Kementerian Kesihatan, Yayasan Bank Rakyat, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Jobs Malaysia. – UTUSAN ONLINE

Sumber: https://www.utusan.com.my/berita/nasional/seminar-star-camp-2018-tarik-penyertaan-550-warga-sabak-bernam-1.607165

This entry was posted in Usahawan. Bookmark the permalink.