200 belia Perlis tidak lepaskan peluang daftar cari kerja dalam 1mpak

Ahli Parlimen Kangar, Ir. Shaharuddin Ismail (tengah) serta Pengarah Bahagian Latihan dan Kemahiran Mara, Mahzan Teh (empat dari kiri) dan Pengarah Mara negeri, Lukman Hakim Hasan (empat dari kanan) bergambar bersama penerima insentif Mara di Program Inisiatif Melestari Pembangunan Komuniti (1mpak) di Dataran Datuk Sheikh Ahmad di Kangar, Perlis, hari ini.

KANGAR 8 Feb. – Kira-kira 200 orang belia dari negeri ini tidak melepaskan peluang untuk mendaftar mencari pekerjaan di dalam siri Inisiatif Melestari Pembangunan Komuniti (1mpak) di Dataran Datuk Sheikh Ahmad di sini, hari ini.

Jumlah itu adalah yang tertinggi berbanding tiga program sama yang diadakan di Pahang iaitu Bera, Paya Besar dan Jerantut sebelum ini.

Secara keseluruhan, 1mpak akan dilaksanakan di 27 lokasi terpilih di seluruh negara yang melibatkan penyertaan sebanyak 70 pihak industri.

Mereka yang mendaftar dan berkelayakan akan dipadankan dengan keperluan pihak industri sebelum dipanggil temuduga untuk bekerja di seluruh negara.

Ahli Parlimen Kangar, Ir. Shaharuddin Ismail dalam sidang akhbarnya selepas merasmikan program itu berharap, agar 1mpak yang diterajui Mara dapat dijalankan di pusat bandar ini dengan lebih kerap.

“Ini kerana negeri ini kekurangan industri untuk menyediakan peluang-peluang pekerjaan kepada para belianya.

“Justeru, saya berharap agar belia di negeri ini akan dapat memanfaatkan peluang ini dengan menceburi bidang keusahawanan dan pendidikan,” ujar beliau.

Yang turut hadir Pengarah Bahagian Latihan dan Kemahiran Mara, Mahzan Teh dan Pengarah Mara negeri, Lukman Hakim Hasan.

Sharilfuddin Saari

Sumber: https://www.utusan.com.my/berita/nasional/200-belia-perlis-tidak-lepaskan-peluang-daftar-cari-kerja-dalam-1mpak-1.605346

This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.