Mobilepreneur bantu belia luar bandar berniaga

MENTERI Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kanan) diiringi Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangun Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan Negeri kedah, Datuk Mohd Tajuddin Abdullah melihat kotak yang dipasang pada motosikal selepas Majlis Penyerahan MobilePreneur@KKLW Negeri Kedah dan Perlis di Dewan Jitra. – Foto Sharul Hafiz Zam

JITRA: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) melaksanakan Program Usahawan Bergerak (Mobilepreneur) bagi memberi peluang belia berniaga, sekali gus menangkis dakwaan kononnya kerajaan tidak memberi perhatian kepada golongan berkenaan.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob, berkata melalui Mobilepreneur, KKLW sudah membantu kira-kira 3,500 belia khususnya dari luar bandar menjalankan perniagaan tanpa membuka premis.

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan membantu 1,000 lagi belia menjalankan perniagaan tahun ini berasaskan konsep perkhidmatan secara bergerak.

“Belia sekarang suka berniaga, malah ada yang menjalankan perniagaan secara dalam talian sejak di universiti dan situasi graduan menjadi usahawan adalah perkara biasa.

“Jadi, kerajaan membantu belia menjalankan perniagaan termasuk melalui Mobilepreneur dan Graduate Employability Training Scheme (GETS) kerana trend sekarang ramai belia gemar berniaga,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Ismail Sabri turut menyerahkan Mobilepreneur@KKLW peringkat Kedah dan Perlis kepada 76 belia yang terbabit dalam perniagaan perkhidmatan.

Beliau berkata, dunia berubah menyebabkan belia harus bijak mengambil peluang merancang masa depan termasuk membabitkan diri dalam perniagaan.

Sehubungan itu, katanya, kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempertikaikan graduan bekerja sebagai pemandu Uber atau berniaga menjual nasi lemak adalah tidak relevan.

“Graduan kebiasaannya memulakan perniagaan secara kecil-kecilan dulu, akhirnya mereka mampu membuka kedai. Jadi jangan perkecilkan atau menghina jika ada graduan menjual nasi lemak,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang tahun ini, pihaknya menyediakan peruntukkan RM10 juta bagi membantu 1,000 usahawan dengan setiap orang diberi bantuan RM10,000 iaitu sebuah motosikal dipasang kotak peralatan, set peralatan kemahiran dan kursus.

“Pada tahun lalu, kita membelanjakan RM30 juta bagi membantu 3,000 usahawan Mobilepreneur berusia 18 hingga 45 tahun.

“Melalui Mobilepreneur, 86 peratus daripada usahawan yang mengikuti program ini mendapat kenaikan pendapatan sehingga 30 peratus,” katanya.

Sementara itu, penerima Mobilepreneur, Nor Aniyah Ghazali, 25, menyifatkan bantuan diberikan kerajaan ini mampu mengembangkan kerjayanya dalam bidang jahitan.

Nor Aniyah yang mula menjahit sejak tahun lalu berkata, sebelum ini dia mengharapkan bantuan bapa untuk bergerak ke rumah pelanggan bagi mengambil ukuran baju.

“Saya bertuah kerana kini memiliki motosikal sendiri dan mudah bergerak ke rumah pelanggan, sekali gus dapat mengembangkan perniagaan saya,” katanya.

Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/01/383020/mobilepreneur-bantu-belia-luar-bandar-berniaga

This entry was posted in Pendidikan and tagged . Bookmark the permalink.