76 peserta Mobilepreneur@KKLW terima motosikal

Ismail Sabri sempat berswafoto bersama peserta program yang gembira menerima motosikal dalam Majlis Penyerahan Mobilepreneurs@KKLW di sini hari ini.

JITRA – Seramai 76 usahawan bergerak dari Kedah dan Perlis menerima motosikal melalui program Usahawan Bergerak (Mobilepreneur@KKLW).

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub berkata, program ini adalah inisiatif untuk membantu golongan belia luar bandar yang mempunyai kemahiran menjalankan perniagaan atau perkhidmatan dengan modal permulaan yang rendah.

“Program ini mula diperkenalkan pada 2016, dengan konsep pelaksanaan membandarkan luar bandar,”katanya pada media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Mobilepreneur@KKLW peringkat negeri Kedah dan Perlis di Dewan Jitra di sini, hari ini.

Menurutnya, kajian yang dijalankan ke atas 500 peserta program mulai 2016 sehingga Julai 2017 yang lalu mendapati sebanyak 86.2 peratus peserta berjaya memperolehi peningkatan pendapatan sebanyak 30 peratus daripada pendapatan asal.

“Pencapaian ini menunjukkan kejayaan program yang sentiasa berusaha meningkatkan pendapatan peserta,” katanya.

Menurutnya, KKLW pada tahun ini menyasarkan seramai 1,000 lagi usahawan bergerak dalam pelbagai bidang seperti automotif, dandanan rambut, penghawa dingin dan lain-lain.

“Peruntukan pada tahun ini adalah sebanyak RM10 juta dengan kos setiap seorang usahawan berjumlah RM10,000.

“Kos berkenaan termasuklah RM5,000 untuk motosikal, RM4,000 bagi melengkapkan peralatan mereka dan selebihnya untuk usahawan menjalani sebarang kursus yang bersesuaian,” katanya.

Ismail Sabri berkata, usahawan bergerak hanya perlu kreatif menggunakan media sosial untuk mempromosikan perkhidmatan mereka memandangkan semua kelengkapan sudah disediakan oleh KKLW.

“Sebab itu kita pilih belia, kerana mereka ini lebih arif menggunakan media sosial dan dengan adanya motosikal ini pasti perkhidmatan mereka lebih cepat dan mudah,”katanya.

Katanya, kepada mereka yang berminat untuk menceburi usahawan bergerak ini terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi.

“Antara syarat berkenaan adalah pemohon mestilah berumur antara 18 hingga 45 tahun dan tinggal di kawasan luar bandar.

“Mereka juga perlu memiliki lesen memandu B2 dan sekurang-kurangnya mempunyai Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap 1 atau memiliki Sijil Kemahiran yang diiktiraf oleh kerajaan Malaysia atau mempunyai pengalaman melebihi enam bulan dalam bidang yang dimohon,”katanya.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/nasional/76-peserta-mobilepreneur-kklw-terima-motosikal-1.791745

This entry was posted in Pendidikan and tagged , . Bookmark the permalink.