442 pusat tahfiz tidak berdaftar siap diselenggara

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob, (tengah) bertanyakan sesuatu kepada pelajar Maahad Tahfiz Al-Hikmah Lilbanat sambil ditemani oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man ketika Majlis Walkabout Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah ke Program Senggaraan Pendawaian Elektrik Sekolah Tahfiz di Jalan Kaki Bukit, Kangar. – Foto Azhar Ramli

KANGAR: Sebanyak 442 pusat tahfiz yang tidak berdaftar sudah diselenggara sepenuhnya, manakala baki 155 lagi dijangka siap Mac ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kos baik pulih dan penyelenggaraan itu membabitkan peruntukan sebanyak RM30 juta, bagi tahun 2017.

“Jumlah peruntukkan ini adalah untuk 721 pusat tahfiz yang tidak berdaftar di negara ini, iaitu 442 sudah siap sepenuhnya dan 155 lagi dalam proses dibaiki serta diselenggara.

“Selebihnya digugurkan kerana ada sebahagiannya tidak perlu dibaiki kerana berada dalam keadaan yang baik, ada juga pusat tahfiz sudah ditutup dan ada tidak mahu dibaiki atas fahaman politik yang berbeza,” katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Walkabout Program Sengaraan Pendawaian Elektrik Sekolah Tahfiz, di Mahaad Tahfiz Al-Hikmah Lilbanat (Perempuan), di sini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri, berharap pusat tahfiz tidak berdaftar sebelum ini menolak untuk dibaiki dapat memberi kerjasama kepada pihaknya demi keselamatan pelajar.

“Perbezaan politik perlu diketepikan dalam isu keselamatan seperti ini, walaupun ada dakwaan mengatakan kita cuba mengambil alih pusat tahfiz.

“Kita harap mereka dapat memberi kebenaran untuk melakukan pemeriksaan. Jangan bimbang kita hanya mahu pastikan anak yang belajar ini selamat dan kita tidak mahu kejadian tidak diingini berlaku lagi,” katanya.

Beliau berkata, tahun ini seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebanyak RM50 juta diperuntukkan untuk pusat tahfiz yang berdaftar.

“Kita mempunyai 612 pusat tahfiz berdaftar di seluruh negara, iaitu kerja penyelenggaraan pendawaian elektrik akan mula dilakukan Februari ini.

“Kita jangkakan Mei ini semuanya akan siap sepenuhnya,” katanya.

Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2018/01/382972/442-pusat-tahfiz-tidak-berdaftar-siap-diselenggara

This entry was posted in Pendidikan and tagged . Bookmark the permalink.